Malaysia Dateline

Malaysia Baharu perlu dibina dalam paradigma baharu

‘Malaysia Baharu’ perlu dibangunkan dalam naratif dan paradigma baharu yang dapat membawa rakyat hidup sejahtera bersama di samping memupuk perasaan saling mempercayai dan menghormati, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata paradigma baharu akan menggariskan bagaimana rakyat Malaysia berhubungan antara satu sama lain, peranan yang dimainkan kerajaan, dan juga bentuk demokrasi negara, di samping bagaimana Malaysia melihat peranannya di dalam dunia.

“Ia akan mengambil masa, namun itu sahaja pilihan yang kita ada untuk membina Malaysia yang lebih baik,” katanya semasa menyampaiklan ucaptama di Universiti Qatar di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri yang berada di Qatar untuk lawatan rasmi tiga hari, berada di Universiti Qatar atas jemputan Presiden universiti bekenaan Prof Dr Hassan Rashid Al Derhamto bagi menyampaikan syarahan bertajuk ‘The New Malaysia: Navigating the Journey Towards Convergence’.

Sebelum ini Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pernah menyampaikan syarahan di universiti berkenaan pada tahun 2015.

Dr Wan Azizah berkata ketika pembaharuan adalah penting bagi penambahbaikan, langkah-langkah yang diambil selepas pembaharuan itu adalah lebih penting bagi memastikan manfaat yang diharapkan, tercapai.

Beliau berkata pembaharuan cenderung untuk meningkatkan ‘apa yang diharapkan’, dengan rakyat ingin melihat penambahbaikan, dan ada juga kemungkinan walaupun pembaharuan dapat diljayakan, hasil yang diperoleh menjadi berbeza daripada apa yang diharapkan.

“Rasuah masih boleh berleluasa sekiranya keruntuhan moral yang wujud tidak ditangani dan kerajaan masih boleh menghadapi masalah sekiranya institusi tidak diperkukuhkan.

”Cabaran bagi Malaysia baharu adalah untuk memastikan perubahan dan pembaharuan aman yang kita dilaksanakan membawa kepada pengukuhan,” katanya.

Beliau berkata Malaysia juga memerlukan pemimpin yang memiliki nurani yang murni bagi memastikan pembangunan pasca pembaharuan, tidak tersasar dari landasannya.

“Kita memerlukan pemimpin-pemimpin yang bersemangat tinggi dalam melaksanakan perjuangannya, dan bukannya mereka yang menganggap peranan kepimpinan mereka sebagai jalan untuk menempa kemasyhuran, glamor atau pulangan ekonomi,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata semasa negara sedang melalui proses pembinaan Malaysia Baharu, kerajaan juga perlu memastikan ia mempu terus menyediakan peluang dan pertumbuhan ekonomi yang mantap.

Beliau berkata selain membantu persekitaran perniagaan, kerajaan akan terus menguatkuasa etika perniagaan yang baik, di samping menggalakkan tanggungjawab sosial korporat, bagi memastikan segala manfaatnya sentiasa disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

— BERNAMA