Malaysia Dateline

Malaysia Baharu sebagai demokrasi matang, kata Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual menyampaikan kenyataan negara pada debat umum sesi ke-73 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNGA ke-73)) di New York Jumaat ini bagi menonjolkan Malaysia baharu sebagai sebuah demokrasi matang yang mendukung kedaulatan undang-undang.

Kenyataan Wisma Putra hari ini menyebut Dr Mahathir, yang mengetuai delegasi Malaysia ke UNGA ke-73 mulai esok hingga 29 Sept sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh selepas kejayaan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu, mewakili kerajaan baharu dengan mandat dan aspirasi yang baharu.

“Dr Mahahtir akan menggariskan komitmen Malaysia untuk bekerjasama dengan negara-negara anggota PBB yang lain bagi mencapai matlamat di bawah tema sesi debat umum ke-73 dan seterusnya. Beliau juga akan menekankan harapan Malaysia terhadap PBB sebagai pertubuhan antarabangsa utama dimandatkan untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Pada lawatan kerja tersebut, Dr Mahathir akan diiringi oleh isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Tema debat umum tahun ini berjudul ‘Menjadikan PBB Relevan Kepada Semua Rakyat: Kepimpinan Global dan Tanggungjawab Bersama Untuk Masyarakat Yang Aman, Seimbang dan Lestari’ dengan tumpuan terhadap hubungan berterusan dengan sistem PBB.

Ini pasti memberi penekanan kepada komitmen kolektif yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin dunia bagi menangani cabaran-cabaran berhubung keamanan, keadilan dan kemapanan.

Dr Mahathir kali terakhir berucap di UNGA adalah pada sesi ke-58 pada 2003.

Wisma Putra berkata Dr Mahathir juga dijadual menyampaikan ucaptama di acara ‘Mencapai SDGs: “Mendedahkan Potensi Kewangan Islam’ yang akan diadakan di ibu pejabat PBB pada 27 Sept anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Program Pembangunan PBB (UNDP) dan Bank Pembangunan Islam (IDB).

Selain ucapan di PBB, Dr Mahathir juga mempunyai jadual padat termasuk sesi dialog dengan Majlis Hal Ehwal Luar Negara Amerika Syarikat, panel perbincangan dengan Forum Perniagaan Global Bloomberg serta berucap pada majlis bersama Asia Society.

Dr Mahathir juga dijadual ditemu ramah oleh akhbar Washington Post, Wall Street Journal dan TRT World serta dijadual mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh usahawan serta pelabur berpotensi dari Amerika Syarikat.

Beliau juga dijadual menghoskan jamuan malam untuk diaspora Malaysia di New York.

Di luar Perhimpunan Agung PBB itu, Dr Mahathir juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan-rakan sejawatan bagi membincangkan hal berkepentingan bersama bagi memperkukuhkan hubungan dua hala dan meningkatkan persefahaman dalam kalangan pemimpin dunia mengenai isu-isu penting serantau dan global.

Wisma Putra berkata menteri-menteri Kabinet dalam delegasi Malaysia masing-masing mempunyai program berasingan semasa perhimpunan agung tersebut.

Menurutnya, Saifuddin dijadual mewakili Malaysia dan menyampaikan ucapan dalam beberapa mesyuarat seperti Sidang Kemuncak Keamanan Nelson Mandela, Mesyuarat Peringkat Tinggi Menteri Mengenai Usaha Damai dan Mesyuarat Peringkat Menteri Perikatan Tamadun PBB.

Di samping mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dengan rakan-rakan sejawatan bagi membincangkan isu-isu berkepentingan bersama serantau dan antarabangsa, Saifuddin juga akan menghadiri mesyuarat-mesyuarat peringkat menteri berkaitan dengan ASEAN, Komanwel, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta Kumpulan 77.

Sementara itu, Mohamad pula dijadual menghadiri majlis mengenai tindakan untuk pasukan pengaman manakala Dr Dzulkefly dijadual menghadiri mesyuarat peringkat tinggi memerangi penyakit tibi serta pencegahan dan pengawalan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Mukhriz pula dijadual mengadakan pertemuan dengan pelabur dan pemimpin perniagaan berpengaruh bagi menerokai peluang baharu perniagaan untuk negeri Kedah. -Bernama.