Malaysia Dateline

Malaysia Baharu tidak boleh terjebak dalam wacana fahaman perkauman, agama yang sempit

Malaysia Baharu tidak boleh terjebak dalam wacana fahaman perkauman dan agama yang sempit, sebaliknya menuntut masyarakat untuk berpegang kepada prinsip luhur, sederhana serta merai dan mendakap kepelbagaian.

Demikian tegas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam ucapan dasar sempena Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda & Wanita KEADILAN 2019.

Azmin berkata, masyarakat perlu bekerja berganding bahu untuk membingkai perpaduan, mencapai kesejahteraan, memperkukuhkan ekonomi bandar dan desa, wilayah dan negara demi kemakmuran bersama.

Mengambil iktibar apa yang berlaku di Chile, Azmin berkata negara Amerika Latin itu yang pernah diiktiraf sebagai antara ekonomi paling maju, kadar pertumbuhan yang tinggi dan potensi ekonomi yang memberangsangkan.

“Walau bagaimanapun, kerana culas mengagihkan kekayaan dengan saksama, membiarkan kesenjangan sosial terus melebar, hari ini banyak negara dilanda krisis yang parah.

“Atas kesedaran inilah, kerajaan telah menggubal Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) sebagai satu iltizam untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif bagi semua rakyat di negara ini.

“Ikhtiar ini akan memacu transisi ekonomi negara ke arah yang lebih progresif, berpaksikan ilmu dan bernilai tinggi dengan penyertaan masyarakat yang menyeluruh di semua peringkat,” katanya di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, malam tadi.

Azmin Ali

Turut hadir, Naib Presiden KEADILAN, Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua; Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Mohamed Talha; Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Timbalan Ketua Wanita KEADILAN, Dr Daroyah Alwi dan Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Muhammad Hilman Idham.

Menurut Azmin yang juga merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, WKB 2030 akan memperbetulkan ketempangan dan ketidakseimbangan sosial dalam masyarakat bagi merapatkan jurang antara kelas pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.

Jelasnya, wawasan tersebut yang dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi paksi dalam penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan RMK-13 sebagai kerangka pembangunan jangka panjang negara.

“Sebagai satu wawasan yang besar, ianya hanya akan berjaya apabila disambut sepenuhnya oleh rakyat.

“Maka, tanggungjawab saudara-saudari sekalian adalah untuk menggembleng dukungan rakyat dan membina Malaysia yang rancak ekonominya, kaya budayanya dan makmur dengan keadilan sosial. Inilah yang kita maksudkan dengan Malaysia Baharu.

“Rakyat dan Kerajaan juga perlu berganding bahu supaya kemakmuran negara ini dapat dinikmati oleh orang Ulu di Ba’kelalan, orang Jawa di Parit Bunian, Pontian, suku Temiar di Kampung Tohoi, Gua Musang, orang India di estet Bukit Cherakah dan orang Cina di Tanjung Piai,” ujar Azmin lagi.

Azmin merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR di Melaka malam tadi.