Malaysia balas ‘perang saraf ‘ bertindak sama terhadap Korea Utara

Malaysia balas ‘perang saraf ‘ bertindak sama terhadap Korea Utara

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya keputusan Korea Utara untuk menghalang rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam satu kenyataan menegaskan tindakan dilakukan oleh Korea Utara boleh dianggap sebagai melanggari perundangan dan diplomatik antarabangsa.

“Menahan rakyat kami sebagai tebusan dan satu perbuataan hina, yang bertentangan dengan perundangan dan norma antarabangsa dan diplomatik,” ujarnya.

Najib dalam satu mesyuarat tergempar diadakan di Putrajaya hari ini, menegaskan, sebagai sebuah negara yang cintakan keamanan, Malaysia komited untuk mengekalkan hubungan baik dengan semua negara.

“Walau bagaimanapun, melindungi rakyat kita adalah keutamaan saya, dan negara tidak akan teragak-agak untuk mengambil segala langkah yang perlu apabila mereka diancam.

“Saya telah memanggil mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Saya juga telah mengarahkan Ketua Polis Negara untuk agar semua rakyat Korea Utara yang berada di Malaysia meninggalkan negara ini sehingga kita diberi jaminan keselamatan semua rakyat Malaysia di Korea Utara.

” Harapan kami adalah untuk mencari penyelesaian yang pantas.Saya menyeru kepimpinan Korea Utara untuk segera membenarkan rakyat kita untuk meninggalkan negara itu bagi mengelakkan sebarang kemunkinan berlaku,” ujarnya.

Hari ini Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, seramai 11 rakyat Malaysia, termasuk dua peserta Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Korea Utara, selamat.

Beliau berkata yang lain terdiri daripada tiga pegawai dan kakitangan Kedutaan Malaysia serta enam anggota keluarga mereka.

“Tiada ancaman terhadap mereka. Jangan kita membuat spekulasi. Saya juga akan menghubungi seorang daripada mereka tidak lama lagi,” katanya kepada wartawan di ruang legar Parlimen di sini hari ini.

Semalam kerajaan Korea pimpinana Kim Jong-un telah mengeluarkan larangan kepada semua rakyat Malaysia daripada meninggalkan Korea Utara.

Reuters melaporkan tindakan itu mungkin satu cara untuk menjadikan mereka tebusan ketika sengketa diplomatik antara kedua-dua negara semakin buruk berikuran pembunuhan Kim Jong-Nam di Kuala Lumpur.

Ianya juga sebagai cara untuk memastikan keselamatan para diplomat dan rakyatnya yang masih berada di Malaysia.

“Semua rakyat Malaysia di Korea Utara akan dilarang buat sementara waktu daripada meninggalkan negara ini sehingga peristiwa yang berlaku di Malaysia diselesaikan secara teratur,” menurut laporan Agensi Berita Pusat Korea yang memetik kenyataan kementerian luaar negara itu.

Pihak Kementerian Luar Korea Utara juga telah memaklumkan kepada kedutaan Malaysia di Pyongyang berhubung keputusan mereka itu di mana mereka berharap kes tersebut dapat diselesaikan secara adil.

Ini rentetan pengusiran Duta Besar Korea Utara ke Malaysia Kang Chol diisytiharkan sebagai ‘Persona Non Grata’ oleh kerajaan Malaysia pada Sabtu dan diberi tempoh 48 jam untuk meninggalkan negara ini. Beliau meninggalkan Kuala Lumpur pada Isnin.

Sebagai langkah tindak balas, Pyongyang turut mengusir Duta Besar Malaysia ke Korea Utara itu pada Isnin dan memberikan tempoh yang sama iaitu 48 jam untuk berbuat demikian.

Kemudiannya pada Selasa Pyongyang mengumumkan larangan sementara terhadap rakyat Malaysia daripada meninggalkan Korea Utara dan hari ini Kuala Lumpur turut bertindak dengan mengenakan larangan sementara terhadap semua warga Korea Utara daripada meninggalkan Malaysia.

Kuala Lumpur mengusir Kang Chol susulan tindakannya mengeluarkan kenyataan menghina dan tidak berasas terhadap Malaysia serta tidak menghormati undang-undang negara ini.

Pada 23 Februari lalu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz juga memberi nasihat kepada rakyat Malaysia supaya tidak mengunjungi Korea Utara atas faktor keselamatan, kerana kejadian pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada Pemimpin Tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

Menurut beliau, Kerajaan Malaysia bimbang berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini.

Korea Utara adalah sebuah negara yang sukar dijangka. Apa-apa saja berlaku. Jadi saya nasihat rakyat Malaysia jangan ke sana dan kita tak galakkan.

Katanya, dari segi pelancongan, kejadian ini tidak menjejaskan kemasukan pelancong asing ke negara ini.

TAGS