Malaysia bangga, satu pencapaian terbaik kontinjen negara, hargai Khairy

Malaysia bangga, satu pencapaian terbaik kontinjen negara, hargai Khairy

Kejayaan kontinjen negara membawa pulang lima pingat iaitu empat perak dan satu gangsa adalah pencapaian terbaik sepanjang sejarah penyertaan Malaysia dalam temasya Olimpik, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Mengulas penutupan tirai Sukan Olimpik Rio hari ini, beliau berbangga dengan pencapaian para atlet walaupun lagu Negaraku masih tidak berkumandang di Sukan Olimpik.

“Kalau dicampur semua pingat yang dimenangi daripada edisi-edisi Olimpik sebelum ini, jumlahnya enam. Kali ini lima. Tahniah kepada kontinjen kita.

“Mereka (para atlet) berjaya menyatukan rakyat dan memberi sinar harapan kepada semua tak kira bangsa, usia mahupun latar belakang,” ujarnya dalam status Facebook beliau awal pagi tadi.

Menurutnya, pemain badminton tanahair, Datuk Lee Chong Wei tetap kebangaan negara walaupun tewas dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki menentang pencabar dari China, Chen Long malam tadi.

“Saya tahu Lee Chong Wei sangat sedih dengan keputusan perlawanan akhir. Berat mata memandang lagi berat bahu yang memikul harapan negara selama sepuluh tahun lebih.

“Anda (Chong Wei) tetap hero kami, rakyat Malaysia. Terima kasih kerana berjuang habis-habisan selama ini. Anda mendapat penghormatan setiap seorang rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno itu juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada atlet Wee Kiong dan V Shem; Liu Ying dan Peng Soon; Pandelela dan Jun Hoong, serta Azizulhasni Awang kerana menjadi kebangaan negara dan berdiri di atas pentas dunia sebagai juara.

“You’re all the best and you have inspired generations of Malaysian athletes to come,” tulisnya.

Walau bagaimanapun, tegas Khairy, tumpuan pada masa ini mesti beralih kepada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Perancangan kearah 2020 telah bermula dengan pelancaran Program Podium pada Februari tahun ini.

“Saya akan tekankan lagi pembangunan para atlet pelapis dan penerapan sains sukan melalui Program Podium dan Program Kita Juara.

“Saya yakin dengan perancangan yang baik, Tokyo 2020 akan mengakhiri penantian Malaysia untuk mendapat pingat emas,” ujarnya lagi.

Khairy turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Shabery Cheek yang telah mulakan Program Road to Rio selepas London 2012; Ketua Kontinjen, Tan Sri Alamin serta jurulatih dan pegawai terlibat.

“Sekali lagi tahniah kepada wira-wirawati negara. I will look back on Rio years from now with tears in my eyes and pride in my soul. Because you all made me believe that we can achieve greatness and a nation united,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, skuad badminton negara menyumbangkan tiga pingat perak kepada Malaysia melalui acara yang diwakili Chong Wei, selain acara beregu lelaki dan beregu campuran.

TAGS