Malaysia Dateline

Dr Zakir Naik

Malaysia belum terima permohonan ekstradisi Zakir Naik

Kerajaan Malaysia belum menerima sebarang permohonan daripada kerajaan India untuk menghantar pulang pendakwah terkenal Dr Zakir Naik ke negara berkenaan.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Justeru, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tiada keperluan untuk kerajaan Malaysia berbuat demikian.

“Saya memang tanya juga (kepada perdana menteri) tapi setakat sekarang, pihak kerajaan Malaysia tidak menerima apa-apa permohonan daripada India untuk ekstradisi Dr Zakir Naik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pandan pada Ahad.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya Zakir dihantar pulang ke India.

Dr Mahathir menegaskan Malaysia mempunyai hak sama ada mahu menghantar pulang atau tidak pendakwah terkenal itu ke negara asalnya selepas kerajaan India dilihat begitu terdesak untuk menahan Zakir atas tuduhan pengubahan wang haram di India.