Malaysia boleh manfaatkan pelabur sukuk di UK dengan dasar sesuai

Malaysia boleh manfaatkan pelabur sukuk di UK dengan dasar sesuai

Alderman Peter Estlin

United Kingdom (UK) mahu meningkatkan hubungan perdagangannya dengan Malaysia terutamanya dalam pasaran modal Islam, dan Malaysia boleh memanfaatkan kumpulan pelabur antarabangsa yang lebih besar apabila menggunakan London sebagai platform untuk menerbitkan hutang.

Mengetengahkan idea itu, Datuk Bandar Bandaraya London, Alderman Peter Estlin berkata UK mengiktiraf peranan dan pengetahuan Malaysia dalam instrumen hutang Islam, serta pasaran sukuk terbesar dengan 50 peratus daripada bahagian global dan kumpulan yang membawa pembaharuan sukuk hijau.

Bagaimanapun, katanya terbitan itu sebahagian besarnya terbitan domestik dan bukan antarabangsa.

“Bagi UK, bidang (pasaran hutang Islam) belum begitu berkembang seperti segmen lain dalam pasaran,” katanya kepada Bernama dalam lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia baru-baru ini.

“Ia merupakan peluang keemasan kepada UK dan Malaysia kerana bagi kami, terdapat keinginan untuk melihat pelaburan runcit yang lebih besar dan kami bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia dan menyokong Malaysia dalam bidang berkaitan,” katanya.

London Stock Exchange Group plc (LSEG) dianggap sebagai pusat kepada sukuk berdaulat pertama yang diterbitkan di luar dunia Islam pada Jun 2014 apabila kerajaan UK menyenaraikan sukuk £200 juta (£1 = RM5.13) dan setakat ini, terdapat 74 penyenaraian sukuk dalam pasaran London dengan sebanyak US$55 bilion telah diraih.

Estlin, yang juga menjadi duta global kepada industri perkhidmatan kewangan dan profesional yang berpangkalan di UK dari 9 Nov, 2018, untuk tempoh satu tahun, berkata, bagaimanapun, jika Malaysia berminat untuk menarik pelabur global, ia perlu menyediakan dasar pelaburan yang lebih jelas.

Beliau berkata antara perkara pertama yang perlu dilakukan ialah memastikan dokumentasi berdasarkan kepada standard antarabangsa supaya pelabur berasa terdapat perlindungan risiko dalam perkara risiko pembinaan bahawa ia disokong oleh tahap pengurusan risiko dan insurans yang sesuai.

Ini merupakan perkara yang Malaysia boleh lakukan dan pada masa sama, penting bagi UK untuk memahami strategi Malaysia dan menumpukan kepada aspek yang dapat dibantu, kata Estlin.

“(Oleh itu), soalan untuk Malaysia ialah, adakah anda berminat untuk menarik lebih banyak pelaburan antarabangsa Jika demikian, terdapat jalan yang kita boleh bekerjasama dan menggalakkan penerbit Malaysia memanfaatkan LSEG sebagai cara untuk mendapat modal antarabangsa yang lebih besar,” katanya.

Katanya UK amat berminat dalam pembiayaan mampan untuk projek-projek infrastruktur yang diberi tumpuan oleh Malaysia.

Terdapat tiga pasaran Islam yang berkaitan di LSEG iaitu, FTSE Shariah Global Equity Series, Shariah Fixed Income Indexes dan Saudi Equity Indexes, dan pada masa ini, terdapat 28 sukuk aktif dengan jumlah terkumpul sebanyak US$27 bilion.

Menurut laporan BNM, sehingga akhir Januari 2019, pembiayaan Islam Malaysia terdiri daripada 32 peratus daripada pinjaman keseluruhan sistem manakala aset perbankan Islam berjumlah RM874 bilion atau 30.4 peratus daripada jumlah aset perbankan sehingga akhir September tahun lepas, dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 10 peratus dalam tempoh tiga dekad lepas.

Manakala di UK, institusi yang berpangkalan di UK yang menawarkan perkhidmatan kewangan Islam mempunyai aset kira-kira US$4.5 bilion.

Menurut Ram Ratings, Malaysia telah mengekalkan kepimpinannya sebagai penerbit sukuk global dengan penerbitannya menyumbang US$13.9 bilion (US$1 = RM4.10) daripada sukuk yang diterbitkan di peringkat global.

Firma penyelidikan itu mendedahkan terbitan sukuk mencecah US$39.5 bilion pada akhir Mac dengan bahagian terbitan Malaysia sebanyak 35.1 peratus diikuti Indonesia dan Arab Saudi, dengan bahagian masing-masing sebanyak 17.0 peratus atau US$6.7 bilion dan 15.3 peratus atau US$6.1 bilion.

Lawatan rasmi Estlin selama dua hari di negara ini turut mengadakan pertemuan dengan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Peguam Negara Tommy Thomas, dan wakil daripada Khazanah, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan persatuan teknologi kewangan (fintech).

“Saya berada di sini untuk mendengar idea mereka, terutamanya dengan kerajaan baharu. Mungkin terdapat peluang untuk kami menjalin kerjasama,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya UK telah menerbitkan jumlah sukuk yang saksama selama ini tetapi tidak berbuat demikian dalam tempoh 12 bulan lepas, dan ia belum melakukan terbitan untuk rakyat Malaysia.

“Sebab tiada sebarang terbitan sukuk di UK ialah kami akan mempunyai perubahan politik di UK…saya telah berbual dengan ahli majlis UK berhubung terbitan hijau dan terbitan sukuk, mungkin kami akan menerbitkan satu lagi pusingan sukuk hijau tetapi saya tidak boleh memberi komen mengenainya, ia terpulang kepada kerajaan UK,” katanya.

Estlin berkata memandangkan dunia ke arah pembiayaan mampan yang menggabungkan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), beliau percaya aspek ESG telah diterapkan dalam sukuk.

“Sukuk semakin menjadi lebih menarik sebagai produk yang ada dalam pasaran yang memberi tumpuan kepada pembiayaan mampan. Sukuk dan pembiayaan Islam secara keseluruhan sesuai dalam bidang yang sama dengan insurans takaful. Bagi UK, kekuatan yang kami ada ialah dari segi bagaimana kami membangunkan pasaran insurans untuk menyokong pertumbuhan,” katanya.

Mengulas mengenai perang perdagangan dan bagaimana ia memberi kesan kepada sentimen pelabur di peringkat global, beliau menjelaskan pertikaian perdagangan itu merupakan perkara biasa berikutan perdagangan global berkembang selama bertahun-tahun, tetapi untuk mengurangkan kesan itu penting untuk mewujudkan kestabilan kewangan.

“Kita akan sentiasa ada pertikaian tetapi jika kita mewujudkan kestabilan kewangan dengan mengiktiraf pelbagai produk dan mempunyai pelbagai pengedar di pelbagai platform, itu amat penting dan boleh dicapai melalui kerjasama antara negara kita, dalam bursa saham, dengan mengedarkan produk satu sama lain dalam pelbagai pasaran, ia mewujudkan kestabilan kewangan, ia juga mengukuhkan hubungan antara korporat. Kami telah melakukannya dengan pasaran lain, kami mahu melakukannya dengan Malaysia,” katanya.

Mengenai Islamophobia, Estlin menegaskan isu itu tidak pernah wujud dalam pasaran kewangan dan dalam kalangan pelabur.

“Realitinya, UK mempunyai reputasi sebagai penyedia kewangan global. Ia merupakan pasaran global dengan 42 peratus tenaga kerja dalam teknologi kewangan tidak dilahirkan di UK, terdapat orang Islam dan orang lain juga, prinsip kewangan Islam amat konsisten dengan pembiayaan mampan. Oleh itu, Islamophobia bukan sesuatu yang kami beri tumpuan,” katanya.– BERNAMA