Malaysia Dateline

Malaysia capai sasaran dua emas di Olimpik Khas Abu Dhabi 2019

Kontijen Malaysia berjaya mencapai sasaran dua pingat emas di Sukan Olimpik Khas Abu Dhabi 2019 yang kini sedang berlangsung, apabila Muhammad Haziq Rizal cemerlang dalam acara Equestrian B1 ‘dressage’ pada Selasa.

Atlet berusia 23 tahun itu mengumpulkan 196 mata dalam divisyen 5 untuk memenangi emas di Pusat Sukan Antarabangsa Al Forsan.

Atlet Haiti, Darlene Milord (194 mata) dan Marie Stuartso dari Great Britain (158 mata) masing-masing menang perak dan gangsa.

Sementara itu, Muhammad Aniq Saiful Bahri, 20, mengumpulkan 175 mata untuk memenangi pingat perak dalam divisyen 9 bagi acara yang sama.

Atlet Finland, Olli Samuli Asrnio menang pingat emas dengan 208 mata, manakala Elsa Clement dari Monaco di tempat ketiga dengan 15 mata.

Kontijen negara juga meraih tiga pingat gangsa melalui Muhammad Adam Zikry Syamsul Bahri dalam 100 meter renang gaya bebas lelaki divisyen M6, Md Yaser Md Rostam  (lompat tinggi M7) dan pasukan bola sepak wanita tujuh sebelah.

Isnin lepas, Nurasmah Mohd Shah menang pingat emas pertama Malaysia melalui acara bocce wanita individu

Selepas enam hari, Malaysia kini memenangi dua emas, empat perak dan tiga gangsa.- BERNAMA