Malaysia catat aliran masuk portfolio asing tertinggi tahun lepas

Malaysia catat aliran masuk portfolio asing tertinggi tahun lepas

Malaysia mencatatkan aliran masuk pelaburan portfolio asing sebanyak RM8.8 bilion pada tahun lalu, sekali gus menjadikan ia jumlah tertinggi sejak 2013, kata SG-UOB Global Economics & Markets Research.

Catatan jumlah tertinggi itu dipengaruhi oleh faktor permintaan asing yang kukuh terhadap sekuriti hutang Malaysia.

Namun, SG-UOB Global Economics & Markets Research dalam kenyataannya memaklumkan, sebanyak RM33.6 bilion jumlah aliran keluar portfolio asing dicatatkan pada 2018.

Menurut SG-UOB, pembelian asing sekuriti hutang Malaysia meningkat kepada RM19.9 bilion pada tahun lepas (2018: RM21.9 bilion) menjadikan mereka penyumbang tunggal kepada aliran masuk portfolio asing secara keseluruhan pada tahun lepas.

“Ia melebihi untuk mengimbangi aliran keluar asing dari pasaran ekuiti Malaysia (2019: RM11 bilion, 2018: RM11.7 bilion).

“Bulan terakhir tahun 2019 menyaksikan kemasukan berterusan pelabur asing ke pasaran bon Malaysia, dengan nilai pelaburan sebanyak RM8.1 bilion. Walaupun aliran keluar ekuiti asing direkodkan secara berterusan, namun jumlah penjualan menyusut kepada RM1.1 bilion.

“Pemulihan itu dibantu oleh dasar monetari global yang lemah dan gencatan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

“Pecahan mengikut jenis sekuriti hutang menunjukkan bahawa sebahagian besar daripada dana memasuki bon kerajaan, yang merupakan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII).

“Terdapat beberapa aliran ke dalam sekuriti hutang swasta, manakala bil perbendaharaan mencatatkan aliran keluar bersih”, katanya seperti dipetik The Edge Markets.

Menurut SG-UOB lagi, pemegangan asing bon kerajaan Malaysia (MGS dan GII) meningkat sebanyak RM8.2 bilion kepada RM185 bilion pada bulan Disember.

“Ini bersamaan dengan 24.3 peratus daripada jumlah bon kerajaan terkumpul (November: 23.4 peratus), paras tertinggi sejak Mei 2018.

“Untuk MGS, pegangan asing berjumlah RM163.9 bilion (November: RM158.4 bilion) yang bersamaan dengan 41.6 peratus daripada jumlah terkumpul (November: 40.5 peratus).

“Bagi GII, pegangan asing berjumlah RM21.1 bilion pada akhir bulan Disember (November: 18.4 bilion), tahap tertinggi dilihat sejak Disember 2016. Ia adalah bersamaan dengan 6.2 peratus daripada jumlah GII terkumpul (November: 5.4 peratus).

“Sebaliknya, pemilikan asing ekuiti Malaysia turun ke paras paling rendah dalam tempoh dua setengah tahun iaitu November 2019: 22.6 peratus; akhir 2018, 23.4 peratus,” katanya lagi.