Malaysia catat pelaburan tertinggi dalam sejarah negara, cecah RM329.5 bilion tahun lalu

Oleh WAN SITI AMINAH

Malaysia berjaya mencipta rekod baharu selepas meraih jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM329.5 bilion pada tahun lalu.

Kejayaan ini sekaligus telah mencatatkan peningkatan besar dalam jumlah pelaburan negara iaitu sebanyak 23 peratus lebih tinggi berbanding rekod pada tahun 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan asing sebanyak 57.2 peratus adalah penyumbang utama kenaikan ini berbanding domestik (42 peratus).

Difahamkan, pelaburan yang diluluskan ini melibatkan 5,101 projek dan ia berpotensi mewujudkan lebih 127,000 peluang pekerjaan baharu buat rakyat, lapor Sinar Harian.

Jelas Anwar, landskap pelaburan yang memperlihatkan prestasi memberangsangkan itu mencerminkan pemulihan dan kebangkitan semula ekonomi negara sepanjang lebih setahun pentadbiran Kerajaan Madani.

“Prestasi cemerlang terbabit disokong oleh peningkatan 35.1 peratus bagi pelaburan domestik dan 15.3 peratus untuk pelaburan asing.

“Secara tidak langsung, ini satu petanda bahawa dasar mesra pelaburan dan mesra perniagaan yang dilaksanakan menerusi pendekatan seluruh kerajaan (whole-of-government) mula membuahkan hasil dalam meningkatkan keyakinan pelabur.

“Jumlah tersebut melibatkan 5,101 projek dan berpotensi mewujudkan lebih 127,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat serta negara,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan, pelaburan tertinggi datang daripada sektor perkhidmatan dengan sumbangan 51.1 peratus iaitu RM168.4 bilion.

Manakala sektor perkilangan pula mengikut rapat dengan nilai sumbangan RM152 bilion bersamaan 46.1 peratus dan sektor utama 2.8 peratus berjumlah RM9.1 bilion.

Perkara dikongsi Ahli Parlimen Tambun itu adalah berdasarkan pembentangan dalam Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) bilangan dua tahun 2024 pada Khamis.

Mesyuarat itu turut membincangkan hala tuju pelaburan digital negara yang selaras dengan perkembangan pesat ekonomi Malaysia di mana ia adalah antara sektor terpenting.

Menurut Anwar, ekonomi digital di negara ini telah menyumbang 23.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 dan diunjurkan meningkat kepada 25.5 peratus menjelang 2025.

Sehubungan dengan itu, sebanyak 396 projek yang berkaitan digital dalam tempoh 2021 hingga 2023 telah diluluskan dengan nilai pelaburan sebanyak RM128.9 bilion.

“Pelaburan dalam projek digital ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan kepada 36,553 rakyat tempatan. Antara yang diluluskan adalah dalam sektor pusat data, pengkomputeran awan, pengehosan data, analisis data besar dan kecerdasan buatan (AI).

“Kehadiran syarikat digital terkemuka dunia dan peneraju pasaran global di Malaysia juga memberi isyarat penting bahawa negara mempunyai tarikan serta ekosistem pelaburan digital yang kondusif.

“Justeru, kerajaan perlu memudah cara sebaik mungkin pelaburan digital berpotensi tanpa sebarang kompromi terhadap aspek berkaitan keselamatan data dan kedaulatan negara.” Ujarnya.

Baca juga: Beli rumah harga RM35,000, lelaki terkejut ‘loan’ masih berbaki RM23,000 lepas 17 tahun konsisten bayar