Malaysia Dateline

Malaysia catat 592 kematian semalam akibat Covid-19, keempat tertinggi di dunia

Malaysia kini meletakkan dirinya ditangga ke 4 dunia apabila 592 rakyatnya meninggal semalam akibat dari Covid-19, lebih teruk dari Amerika Syarikat yang mencatatkan 410 kematian.

Malaysia hanya berada di belakang Russia (796), Mexico (699) dan Brazil (635) mengalahkan Amerika Syarikat, India and United Kingdom, negara utama di dunia yang mempunyai jumlah kematian terbesar akibat Covid-19.

“Amerika Syarikat mempunyai kira-kira 10 kali ganda jumlah penduduk Malaysia dan berdasarkan data kematian Covid-19 Malaysia sebanyak 592 kematian semalam, jika Amerika Syarikat berada dalam situasi pandemik Covid-19 di Malaysia, ia harus mempunyai 5,920 kematian Covid-19,” kata veteran DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya pagi ini.

Semalam, Amerika Syarikat mencatatkan 410 kematian Covid-19, dan tempoh terburuk dari pandemik Covid-19 adalah pada minggu terakhir presiden Trump, ketika mencapai puncak 4,489 kematian Covid-19 harian pada 12 Januari 2021.

Menurut laman Covidnow, dari jumlah 592 kematian semalam itu, 88 adalah BID (pesakit yang sudah mati dibawa ke hospital).

Ini menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 adalah 20,419 manakala jumlah BID adalah 3,676.