Malaysia dalam kedudukan paling rendah lakukan saringan serviks

Malaysia dalam kedudukan paling rendah lakukan saringan serviks

Malaysia hanya mampu mencapai kadar 12.9 peratus sahaja dalam saringan serviks, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, kadar itu berada terlalu jauh di bawah sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu 70 peratus, menjadikan ia cabaran untuk memujuk wanita tampil melakukan saringan berkenaan.

“Risiko hayat seorang wanita Malaysia untuk mendapat kanser pangkal rahim ialah 1 nisbah 116. Hanya 24 peratus wanita Malaysia dikesan menghidap tahap awal (Tahap 1) manakala 76 peratus disahkan setelah berada pada tahap seterusnya (Tahap 2, 3 & 4).

“Kawalan awal adalah jawapan bagi menghentikan penyakit itu dari terus merebak,” katanya pada pelancaran Program Hentikan Halangan Untuk Melakukan Skrin Serviks (R.O.S.E) di sini hari ini.

Menurut Dr Wan Azizah, kanser pangkal rahim adalah kanser ketiga paling banyak dialami dalam kalangan wanita (7.7 peratus) di Malaysia selepas kanser payudara (32.1 peratus) dan kanser kolorektum.

Beliau berkata, langkah untuk melakukan skrin kanser pangkal rahim menerusi ujian DNA HPV (Human Papilloma Virus) yang dikendalikan oleh Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) dijangka memberi manfaat kepada 14,000 wanita dari isi rumah berpendapatan rendah (B40) tahun ini.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti berkata ujian DNA HPV disarankan kepada wanita berumur lebih 30 tahun kerana ia boleh mengesan kehadiran risiko tinggi DNA HPV.

“Ujian itu melibatkan penggunaan berus kecil atau spatula untuk mengambil contoh sel dari permukaan serviks. Ujian itu tidak sakit kerana sel itu diambil hanya dari permukaan,” tambah beliau.

Beliau berkata, wanita yang didapati di bawah kriteria ini boleh mendaftar untuk program berkenaan menerusi 49 klinik LPPKN di seluruh negeri.

Mengenai program R.O.S.E, Timbalan Perdana Menteri itu berkata ia adalah selamat, privasi dan dilakukan secara bermaruah menerusi pensampelan-sendiri, yang menggalakkan lebih ramai wanita untuk secara sukarela menyertai program skrin dalam tempoh yang sepatutnya.

Dr Wan Azizah berkata, pendaftaran dalam talian membolehkan penjejakan berhubung perkembangan terbaru setiap wanita yang telah menjalani skrin, termasuk butiran setiap episod skrin dan kemudahan penjagaan kesihatan.

“Ini menjadi lebih selamat dan memastikan wanita menjalani skrin pada tempoh yang dicadangkan dan mereka menjalani pemeriksaan susulan mengikut tempohnya, dan ini dapat meningkatkan perjalanan peribadi setiap wanita untuk mengekalkan kesihatan serviks,” katanya.

R.O.S.E melibatkan pensampelan-sendiri, ujian HPV dan teknologi e-kesihatan bagi mengekalkan kesihatan serviks.

Ia satu inovasi oleh Universiti Malaya (UM) dan VCS Foundation of Australia yang akan mewujudkan satu usahasama tanpa membuat keuntungan untuk menggabungkan kepakaran kedua-duanya bagi pelaksanaan R.O.S.E sebagai program skrin serviks di Malaysia.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Hannah Yeoh.