Malaysia Dateline

Malaysia dalam senarai amaran kesihatan Tahap 4 Amerika Syarikat

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan notis amaran kesihatan Tahap 4 terhadap Malaysia ekoran peningkatan kes Covid-19.

Lebih daripada 170 negara dikategorikan di bawah amaran kesihatan tertinggi itu.

Tahap tersebut bermaksud pelancong AS harus mengelakkan semua perjalanan ke destinasi terbabit yang turut merangkumi Jerman, Jepun dan United Kingdom.

Jurucakap Kedutaan AS Michelle Kevern berkata, kemas kini terbaharu Kedutaan AS di laman web bertarikh 4 Januari 2021 adalah untuk memberikan maklumat terkini berhubung dasar kerajaan Malaysia mengenai status visa dan imigresen.

Beliau berkata, amaran yang menasihati warganegaranya di Malaysia untuk segera kembali ke AS, dikeluarkan pada bulan Mac tahun lalu.

“Nasihat perjalanan kepada warganegara AS di Malaysia dan di seluruh dunia telah konsisten sejak Mac lalu.

“Menasihati warganegara AS untuk pulang bukanlah hal baru dan tidak khusus bagi mereka di Malaysia,” katanya dipetik The Star semalam.

Terdahulu, tular dakwaan mengatakan keadaan Covid-19 pada masa ini amat parah di Malaysia sehingga mendorong Kedutaan AS mengeluarkan amaran sedemikian.

Kelmarin, laman web Kedutaan AS menyebut warganegara yang mempunyai kad lawatan sosial sudah tamat tempoh di Malaysia boleh meninggalkan negara ini dalam masa 14 hari bekerja setelah berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tanpa perlu memohon atau mendapatkan kelulusan terlebih dahulu atau apa-apa pas tambahan khas.

Untuk rekod, AS pada masa ini tetap negara nombor satu di dunia paling banyak kes positif Covid-19 iaitu lebih 21.5 juta dengan jumlah kematian akibat virus itu mencecah 365,620 kes.

Berbanding Malaysia di kedudukan ke-72 dengan 122,845 kes positif Covid-19 dan 509 kematian setakat 12 tengah hari semalam.