Malaysia Dateline

Malaysia dan Singapura seperti kembar, kata Mahathir

Malaysia berharap hubungan baik antara Malaysia dan Singapura dapat diteruskan, daripada segi ekonomi dan hormat antara satu sama lain, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kedua-dua negara tersebut diumpamakan sebagai kembar, jelas Dr Mahathir, kecuali “kembar tua sedikit besar dan tua berbanding kembar muda.

“Tetapi kita (Malaysia dan Singapura) telah hidup bersama dalam keadaan aman dan damai,” kata beliau ketika berucap di majlis rasmi di Istana, Singapura, atas undangan Lee Hsien Loong dan isteri, Ho Ching.

Tambah Dr Mahathir, “Jarang dapat kita lihat negara berpisah yang kemudiannya dapat bekerjasama dan membantu antara satu sama lain,”.

Dr Mahathir juga turut menyampaikan apresiasi kepada Republik itu atas bantuan diberikan berkaitan soal kewangan yang dihadapi Malaysia.

“Kami (Malaysia) akan sentiasa menghargainya. Jika terdapat peluang untuk kami membalasnya, kami akan cuba sebaik mungkin,” jelas beliau tanpa memberi rujukan secara spesifik.

Walaubagaimanapun, hal ini dipercayai berkaitan Republik itu bersetuju untuk menggantung pembinaan Kuala Lumpur-Singapore High Speed Rail (HSR) sehingga akhir Mei 2020.

Tambah Dr Mahathir, perkara utama ialah untuk meneruskan hubungan baik antara dua negara walaupun terdapat perbezaan pendapat.

Jelas beliau, “Akan terdapat persaingan, tetapi persaingan itu sentiasa sihat. Ia akan membantu kita untuk berusaha dalam persaingan. Ia baik untuk proses kemajuan kita.”

Menurut Dr Mahathir, Malaysia dan Singapura saling bergantung antara satu sama lain. Malaysia juga turut memerlukan servis pelabuhan Singapura and servis yang berkaitan perdagangan dan industri.

Ketika ini, Republik tersebut merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia selepas China. Jumlah perdagangan dua hala mencecah sehingga RM220.88 bilion, menyamai sebanyak 12.9 peratus jumlah dagangan dunia negara.

Pada lawatan rasmi beliau ke Singapura kali ini, Dr Mahathir gembira atas pertemuan dan perbincangan dengan Lee berkaitan masa hadapan halatuju dua negara.

“Dan kita harap hubungan dua hala yang diteruskan sebaik sahaja peralihan kuasa untuk lebih erat atas semangat kerjasama. Saya (Dr Mahathir) berharap kunjungan (ke Singapura) akan mengukuhkan hubungan antara dua negara demi kemajuan bersama,”.

Ujar beliau, “Hubungan ini seharusnya berkembang supaya kedua-dua negara dapat manfaatnya dan bukan saling berbeza pandangan, tetapi bersaing secara sihat dan paling utama untuk sentiasa bekerjasama,”.