Malaysia Dateline

Malaysia Dateline jawab saman yang dikemukakan MB Terengganu

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar telah memfailkan saman terhadap Malaysia Dateline berikutan berita yang disiarkan oleh portal berita ini bertajuk “MB Terengganu tergugat, borang aku janji tersebar”.

Dalam saman yang difailkan itu, Samsuri yang juga Naib Presiden Pas menamakan Dateline Media Group Sdn Bhd yang memiliki laman Malaysia Dateline dan editornya Arif Atan sebagai defendan.

Menurut pernyataan tuntutannya, Samsuri mendakwa laporan berita Malaysia Dateline itu memfitnah beliau.

Sementara itu, Malaysia Dateline dalam pembelaan yang difailkan baru-baru ini menyatakan, laporan itu dibuat berasaskan satu borang kenyataan berkanun (SD) yang diperolehinya dan juga laporan dari portal berita The Malaysian Insight sebelum itu.

Malaysia Dateline mendakwa, mereka mempunyai sebab yang kukuh kenapa berita itu disiarkan dan berdasarkan maklumat dan laporan yang benar.

Dalam pembelaan yang difailkan, Malaysia Dateline mendakwa, Samsuri sememangnya mempunyai masalah dengan Istana Terengganu dan juga sebahagian pemimpin Pas di negeri itu ketika berita itu disiarkan.

Media itu mendakwa, Samsuri telah membawa kira-kira 10 rakan-rakannya yang tinggal dan aktif di luar Terengganu khasnya dari Selangor ke negeri itu dan dilantik memegang pelbagai jawatan utama di pejabat beliau, anak-anak syarikat kerajaan Negeri Terengganu dan juga badan-badan di bawah pentadbiran beliau.

Tindakan ini telah menyebabkan pemimpin dan aktivis politik Pas di Terengganu tidak berpuas hati kerana merasakan mereka diketepikan dan merampas peluang mereka untuk berkhidmat kepada kerajaan negeri dan anak-anak  syarikatnya.

Samsuri melalui anak syarikat kerajaan negeri juga telah membuat satu memorandum persefahaman (MOU) dengan sebuah syarikat dari Johor dan menyerahkan hak perlombongan nadir bumi (rare earth) di seluruh negeri Terengganu kepada syarikat itu.

Ia tidak disenangi oleh ahli perniagaan tempatan dan juga Istana Terengganu kerana pemilik syarikat berkenaan dikaitkan dengan Istana Johor.

Laman itu juga dalam pembelaannya berkata pemimpin Pas dan Istana Terengganu tidak senang dengan tindakan Samsuri yang rapat dengan Vincent Tan, yang memiliki syarikat judi Sport Toto.

Mahkamah telah menetapkan 14 November ini sebagai tarikh pengurusan kes kedua selepas berbuat demikian pada 25 Oktober lepas.

Pada 25 Oktober lepas, Samsuri telah diarahkan untuk memfailkan jawapan kepada pembelaan yang dibuat oleh pihak defendan.

Ia perlu difailkan Samsuri menjelang 14 November ini.

Malaysia Dateline diwakili oleh Dr Zulqarnain Lukman dari firma guaman Asri Musa & Co manakala Samsuri diwakili oleh firma guaman Azman, Wan Helmi & Associates.

Perbicaraan dijalankan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu dan buat masa sekarang dijalankan secara online.