Malaysia Dateline

Malaysia di kedudukan kukuh bantu firma tempatan tembusi pasaran global, kata Alibaba Group

Malaysia berada pada kedudukan yang kukuh untuk membantu syarikat-syarikat tempatan meneroka beberapa pasaran terbesar di seluruh dunia memandangkan ia mempunyai masyarakat pelbagai budaya yang berminat untuk memanfaatkan ekonomi digital, menurut Alibaba Group.

Timbalan Presiden inisiatif global kumpulan itu, Brian Wong berkata, Alibaba akan terus menyokong perniagaan-perniagaan di Malaysia dan membantu mereka mencapai potensi sepenuhnya sepanjang tempoh transformasi ini.

“Dunia berada di tengah-tengah Revolusi Perindustrian Keempat – satu daripada asas yang kukuh dalam ekonomi digital.

“e-dagang akan memanfaatkan masyarakat Malaysia dalam pelbagai aspek. Selain mempromosi pembangunan luar bandar dan rangkuman ekonomi, ia juga mewujudkan dorongan kepada perusahaan kecil dan sederhana untuk menginovasi dan meneroka semangat berdaya usaha dalam kalangan generasi muda, terutama bagi mempercepat pembangunan perniagaan dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wong merupakan antara pihak daripada Alibaba Group yang berkongsi langkah-langkah yang diambil untuk terus menyokong pertumbuhan dan transformasi ekonomi digital Malaysia menerusi satu pembentangan di Hari E-Dagang Kebangsaan tahunan kedua Malaysia.

Dalam pembentangan itu, Wong menyediakan maklumat terkini yang komprehensif mengenai jumlah usahawan Malaysia yang telah memperoleh manfaat daripada kursus-kursus di pelbagai institusi Alibaba seperti Sekolah Perniagaan Alibaba.

Beliau turut menyentuh mengenai ‘DESA Project’ – program yang memperluas capaian dan peluang dalam ekonomi digital kepada masyarakat luar bandar di seluruh Malaysia.

“Program ini diwujudkan oleh empat syarikat tempatan susulan penyertaan mereka dalam Program Latihan Usahawan Internet (Netpreneur) Sekolah Perniagaan Alibaba,” katanya.

Projek DESA yang disokong oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Lazada dan rakan kongsi masing-masing bertujuan mewujudkan platform khusus untuk perniagaan di luar bandar menyertai dan menerima manfaat daripada ekonomi digital.

Diilhamkan menerusi konsep Taobao Village yang diperkenalkan semasa di China, produk-produk penduduk kampung dihimpunkan dan mereka mempelajari bagaimana untuk menjual produk masing-masing di Taobao.

Projek perintis di Bentong, Pahang itu akan membantu pengeluar di luar bandar untuk memasarkan beras organik, halia, serbuk halia, sos soya dan kacang Sempalit kepada pengguna secara dalam talian sama ada di Malaysia atau pasaran baharu di seluruh dunia.

Alibaba Group telah memperkasa dan menyokong masyarakat di pelbagai peringkat termasuk sektor awam, swasta dan pendidikan menerusi pelbagai inisiatif melibatkan ratusan usahawan digital dan ribuan pelajar universiti.

Antara inisiatif tersebut adalah Bengkel Ekonomi Baharu, Program eFounders Fellowship, Latihan Netpreneur Alibaba dan program Bakat e-dagang Global (GET).

Bengkel Ekonomi Baharu adalah modul selama empat hari kepada para pegawai kerajaan untuk menghadiri pembentangan dan seminar daripada eksekutif kanan e-dagang mengenai teknologi kewangan, logistik, platform tadbir urus dan dasar kerajaan.

Sementara itu, Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCTAD) dan program eFounders Fellowship Sekolah Perniagaan Alibaba adalah kursus kepada usahawan digital untuk mempelajari kajian kes hidup nyata selama 12 hari.

Sebanyak lapan kelas telah diadakan setakat ini membabitkan lebih 270 usahawan dari seluruh Asia dan Afrika yang menamatkan program itu.

Latihan Alibaba Netpreneur pula ialah program 10 hari melibatkan peneraju perniagaan tradisional tempatan yang berhasrat mendigitalkan syarikat mereka atau pengubah digital yang membantu mereka untuk berubah.

“Sehingga kini, sebanyak tiga edisi telah diadakan di Malaysia melibatkan 145 usahawan internet yang telah menamatkan program itu,” kata Alibaba Group.

Inisiatif GET adalah program selama lima hari kepada pelatih di universiti tempatan bagi memperkasa peserta untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai industri e-dagang dan menggalakkan bakat dalam ekonomi digital.

“Sejak pelancarannya pada 2018, Alibaba telah melatih 200 individu daripada 30 institusi latihan dan akademik di Malaysia melibatkan 3,996 pelajar dengan kerjasama lima universiti yang mendapat pensijilan GET di negara ini,” menurut kenyataan itu.– BERNAMA