Malaysia Dateline

Malaysia di tangga ke-28 Indeks Keselamatan Makanan Global

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Keselamatan Makanan Global (GFSI) berada di tangga ke-28, pada tahun lalu dengan skor keseluruhan 73.8 peratus.

Berdasarkan pemerhatian di laman sesawang GFSI, sebanyak 113 negara berada dalam kedudukan tersebut yang didahului Singapura di tangga pertama dengan skor 87.4 peratus.

Menurut GFSI, kedudukan Malaysia dalam indeks berkenaan turut dipengaruhi oleh beberapa faktor kekuatan yang ditakrifkan sebagai petunjuk kepada skor yang melebihi 75 peratus dan ke atas.

Malaysia dilihat mempunyai skor penuh 100 peratus iaitu melibatkan prospek penduduk di bawah garis kemiskinan global, kehadiran kualiti program keselamatan makanan bersih, akses kepada pembiayaan untuk petani dan juga piawaian makanan.

Selain itu, pertukaran purata kos makanan mendapat skor kedua tertinggi iaitu 98.5 peratus, manakala untuk keselamatan makanan (97.7), kerugian makanan (94.7), kapasiti penyerapan bandar (89.2)

Bagi votaliti pengeluaran makanan pula skornya adalah 88.7 peratus dan faktor terakhir adalah tarif import pertanian dengan skor 87.7 peratus.

Untuk rekod, lima negara utama yang berada dalam kedudukan tersebut adalah Singapura di tempat pertama, Ireland (kedua), United States (ketiga), Switzerland (keempat) manakala Finland dan Norway berkongsi kedudukan di tangga kelima.

Sebelum ini, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Majlis Keselamatan Makanan Negara (MKMN) segera bagi menangani isu makanan ketika wabak Covid-19.

Dalam wawancaranya dengan TV internet Jom Channel, Salahuddin berkata, walaupun negara sudah ada Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetapi keperluan MKMN sangat mendesak sekarang.

“Jika Perintah Kawalan Pergerakan ini berterusan, bekalan makanan kita hanya mencukupi sehingga Ogos sahaja.

“Tambahan lagi wabak ini berlaku serentak di seluruh dunia di mana semua negara akan berhadapan dengan krisis bekalan makanan untuk rakyat mereka.

“Kalau krisis atau tragedi berlaku di sesuatu tempat sahaja di dunia seperti Tsunami di Aceh atau gempabumi di Iran, negara lain boleh bantu.

“Tetapi krisis ini berlaku di seluruh dunia. Setiap negara menjaga kepentingan masing-masing.

“Jadi negara perlu bersedia berhadapan dengannya. Penubuhan Majlis Keselamatan Makanan adalah terbaik untuk membolehkan semua pakar-pakar kita duduk dan berfikir serta menyusun strategi yang sesuai mengenai,” kata Salahuddin dalam satu wawancara.