Malaysia di tempat ke-19 penggunaan e-pembayaran kerajaan – Visa Inc

Malaysia di tempat ke-19 penggunaan e-pembayaran kerajaan – Visa Inc

Kajian dijalankan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran digital global, Visa Inc, meletakkan Malaysia di tempat ke-19 dalam kalangan 73 negara yang mengguna pakai e-pembayaran kerajaan.

Pengurus negara bagi Malaysia Ng Kong Boon berkata kajian itu memberi penarafan kepada kerajaan dengan mengukur kuantiti keupayaan e-pembayaran mereka berdasarkan pelbagai petunjuk seperti dasar dan infrastruktur.

“Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah penting untuk menganjakkan negara ke dalam era digital. Dengan mencatatkan skor tertinggi di Asia Tenggara telah membuktikan usaha kerajaan dalam menstransformasikan negara untuk menjadi sebuah negara digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata faktor sokongan seperti keadaan infrastruktur dan sosio-ekonomi turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan penggunaan pembayaran digital.

“Malaysia juga telah melakukan dengan amat  baik dalam konteks komitmen kerajaan terhadap dasar keselamatan e-pembayaran, sokongan untuk inovasi Fintech dan kemasukan kewangan,” katanya.

Mengikut kajian indeks dan penanda aras global  Economist Intelligence Unit (EIU) Visa, kedudukan itu dibuat berdasarkan tujuh kriteria – transaksi antara warganegara dan kerajaan (C2G), kerajaan ke warganegara (G2C), perniagaan ke kerajaan (B2G), kerajaan ke perniagaan (G2B), serta infrastruktur, persekitaran sosio-ekonomi dan dasar untuk membolehkan e-pembayaran.

Daripada tujuh kategori, Malaysia menduduki tempat pertama dengan skor 100 mata penuh, bersama-sama Australia, Kanada, Perancis, Jerman dan Singapura dalam kategori transaksi B2G berikutan pelbagai inisiatif dalam ruang pembayaran.

Malaysia juga menduduki tempat kelapan dalam kategori transaksi C2G dan G2C dengan rakyat Malaysia boleh mengakses pelbagai transaksi C2G dan G2C menerusi platform antara operasi.

Norway menduduki tangga teratas diikuti Perancis dan Denmark.

— BERNAMA