Malaysia digesa tidak sertai gerakan tentera di Syria

Malaysia digesa tidak sertai gerakan tentera di Syria

Malaysia digesa tidak menyertai sebarang gerakan dan operasi ketenteraan di Syria malah perlu berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap konflik yang berlaku di meja rundingan, tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut beliau, laporan yang mengaitkan Malaysia dalam satu siri latihan ketenteraan berkaitan peperangan di Syria yang turut melibatkan 20 negara termasuk Arab Saudi amat membimbangkan.

Jelas Dr Wan Azizah, tindakan ketenteraan yang dipelopori Arab Saudi itu bakal mendatangkan impak geopolitik yang cukup negatif, bukan sahaja dari segi keselamatan di rantau Timur Tengah tetapi juga pendirian neutral Malaysia selama ini.

“Saya menggesa agar Putrajaya mengkaji cara terbaik untuk mengundur (disengagement) dari situasi yang memasukkan Malaysia ke dalam kancah peperangan di Syria.

“Pada masa yang sama, Malaysia perlu berhenti dari menyertai sebarang latihan ketenteraan berkaitan Syria, terutama yang tidak menggunakan saluran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Peperangan bukanlah perkara yang mudah mahupun murah, dan tatkala ekonomi Malaysia tidak begitu sihat serta dibelenggu pelbagai masalah dan skandal kepimpinan sedia ada, langkah ketenteraan di Timur Tengah tidak patut di ambil kira selagi jalan penyelesaian melalui meja rundingan belum berakhir,” ujarnya.

Beliau menambah, Malaysia perlu tegas dan proaktif mengesyorkan langkah rundingan dan perbincangan untuk mencapai perdamaian di Syria dan Timur Tengah.

Ujarnya, hanya penyelesaian politik melalui meja rundingan dapat mencapai perdamaian yang lebih mampan dan berkekalan.

TAGS