Malaysia Dateline

Malaysia dijangka catat pertumbuhan eksport 5-6 peratus tahun ini

Perbadanan Pembanguan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menjangkakan Malaysia mencatat pertumbuhan eksport antara lima dan enam peratus tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Shahreen Zainooreen Madros berkata prestasi eksport negara pada 2017 sangat baik, dan menjadi asas yang tinggi untuk prestasi eksport tahun semasa.

“Kami optimistik namun berhati-hati  terhadap pertumbuhan eksport dan berharap unjuran pertumbuhan  antara lima peratus dan enam peratus dapat dikekalkan untuk sekurang-kurangnya enam bulan.

“Ini akan disokong oleh perdagangan kita dengan negara ASEAN sebagai rakan dagang utama, yang sama-sama turut berkembang…dan baik untuk kita,” katanya  pada sidang media selepas mengumumkan program kerja MATRADE untuk 2019.

Program kerja MATRADE bagi 2019 meliputi aktiviti pembangunan dan promosi eksport, selain program yang bermatlamat meningkatkan penyertaan syarikat Malaysia dalam pasaran eksport.

“Tahun depan, kami akan menganjurkan 437 program pembangunan eksport. Kami akan meneroka pasaran baharu, termasuk Uganda dan Bangladesh, dan walaupun belanjawan kami terhad dalam penganjuran program, kami akan bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk pelarasan,” katanya.

Antara sektor baharu yang berpotensi ialah industri kreatif dan aeroangkasa seperti filem, animasi dan fesyen.

“Dengan sektor halal sentiasa menjadi industri utama, kami juga akan memberi tumpuan yang lebih ke atas kewangan Islam, farmaseutikal dan peranti perubatan,” katanya.

— BERNAMA