Malaysia Dateline

M Kulasegaran

Malaysia dijangka ratifikasi Statut Rom dalam masa terdekat

Malaysia dijangka meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) tidak lama lagi, kata Pengerusi Anggota Parlimen bagi Tindakan Global (PGA) Malaysia M. Kula Segaran.

Berucap pada Persidangan Perundingan ke-10 Anggota Parlimen ICC dan Kedaulatan Undang-undang serta Forum Tahunan ke-40 PGA di Verkhona Rada (Parlimen Ukraine), Kyiv, Ukraine pada Jumaat, Kula Segaran berkata perkara itu sudahpun mendapat persetujuan peguam negara (AG) Malaysia.

Menurut Kula Segaran, AG berkata tiada sebab kukuh bagi Malaysia untuk tidak menyertai ICC, malah langkah itu juga tidak memerlukan pindaan Perlembagaan.

“Kami menyatakan persetujuan daripada AG dan kami akan membentangkan usul ini ke kabinet minggu depan dan dijangkakan kami meratifikasi ICC dalam masa terdekat,” katanya.

Teks ucapan beliau dihantar ke Bernama, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Malaysia akan kerugian besar jika tidak mengangotai ICC seperti yang berlaku ketika tragedi MH17.

“Pada 17 Julai 2014, penerbangan Malaysia MH17 ditembak jatuh ketika melintasi ruang udara Ukraine dan 283 penumpang serta 15 kru terkorban.

“Saya pernah menulis tentang tragedi MH17. Saya kata, ‘keadilan untuk mangsa jenayah sebesar ini harus diperoleh menerusi penyelarasan peringkat negara dan antarabangsa. Isu ini perlu ditangani oleh mahkamah peringkat negara yang disokong oleh ICC,” katanya.

Kula Segaran berkata jika Malaysia menjadi negara anggota ICC, tragedi itu boleh dirujuk ke mahkamah berkenaan.

Begitu juga dengan resolusi Parlimen Malaysia untuk merujuk Israel ke ICC yang diluluskan pada 2010, Malaysia terpaksa meminta Turki yang merupakan negara anggota untuk membawa perkara itu ke mahkamah tersebut, katanya.

Kula Segaran yang juga Menteri Sumber Manusia, berkata perjalanan Malaysia untuk menyertai ICC bermula pada 2004 namun usaha itu disukarkan oleh kerajaan terdahulu sekalipun Malaysia telah menyatakan persetujuan untuk meratifikasi ICC pada 2011.

Beliau juga berkata setakat ini hanya dua daripada 10 negara anggota ASEAN telah meratifikasi ICC.

“Keseluruhannya hanya 25 peratus negara Asia meratifikasi Statut Rom, justeru kita ada tugas berat untuk mendapatkan negara bukan anggota menyertai ICC. Saya yakin pemimpin Asia akan dapat dipujuk untuk mengakui peranan ICC.

“Saya impikan bahawa pada suatu hari nanti semua negara di dunia ini akan meratifikasi ICC dan dengan cara itu kedaulatan undang-undang akan dijunjung.

“Kita bertanggungjawab memastikan generasi masa depan akan melakukan perkara yang betul dan meratifikasi ICC kerana mahkamah itu memberi harapan kepada mangsa jenayah terhadap kemanusiaan serta jenayah perang, sekali gus berperanan mencegah jenayah-jenayah ini,” katanya.

— BERNAMA