Malaysia dipilih laksana projek perintis EYAB,kata Wan Azizah

Malaysia dipilih laksana projek perintis EYAB,kata Wan Azizah

Malaysia antara tiga negara dipilih kerajaan Arab Saudi untuk melaksanakan projek perintis EYAB iaitu inisiatif bagi memudahkan urusan perjalanan pulang jemaah haji ke negara masing-masing, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, projek perintis untuk Malaysia akan dimulakan dengan penerbangan pulang jemaah haji pada 18 Ogos ini dan melibatkan kira-kira 7,000 jemaah haji yang menaiki 14 penerbangan pulang Malaysia Airlines.

Katanya, inisiatif terbaharu daripada kerajaan Arab Saudi, yang turut melibatkan jemaah haji Indonesia dan India itu, akan mengurangkan tempoh menunggu semasa keberangkatan pulang jemaah haji daripada enam jam kepada empat jam.

“Semua penerbangan itu yang akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah (dekat sini),” katanya pada sidang media selepas melawat jemaah haji dan meninjau operasi Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) Makkah di Abraj Janadriyah di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh, Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi TH Tan Sri Md Nor Yusof, dan Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Musim haji tahun ini menyaksikan 33,000 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Dr Wan Azizah berkata melalui projek perintis EYAB balai berlepas khas akan diwujudkan di Terminal Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz yang akan membolehkan urusan imigresen buat jemaah haji terlibat diuruskan secara mudah alih dan pantas.

“Projek perintis EYAB ini yang juga kesinambungan Makkah Route dijangka akan diperluaskan pelaksanaannya kepada semua penerbangan yang membawa jemaah haji Malaysia pada musim haji akan datang,” katanya.

Malaysia, sebagai negara perintis Makkah Route pada 2017, adalah sistem prapelepasan haji menyaksikan jemaah di bawah inisiatif ini akan diambil cap jari, manakala pasport mereka akan dicap di negara jemaah berlepas untuk memendekkan tempoh masa jemaah menunggu.

Sementara itu, beliau berkata pada tahun ini TH menanggung jumlah subsidi berjumlah RM400 juta dan telah menanggung keseluruhan subsidi lebih RM2 bilion sejak tahun 2001.

Dr Wan Azizah berkata ini kerana sejak tahun 2009, TH telah mengekalkan bayaran haji pada RM9,980 walaupun kos haji terus meningkat.

“Bagi musim haji ini sahaja, kos haji untuk seorang ialah RM22,900 dan Tabung Haji menanggung subsidi sebanyak RM12,920 seorang. Saya percaya hubungan baik dan kerjasama rapat Tabung Haji dengan pihak Arab Saudi telah banyak memudahkan dan melicinkan pergerakan Jemaah Haji Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, lebih 20 inisiatif baharu bagi meningkatkan kecekapan pengurusan jemaah haji telah dapat dilaksanakan TH dengan jayanya.

“Ini termasuk aplikasi interaktif Jemaah Haji dan e-Taib di mana teknologi maklumat sebagai ‘enabler’ jemaah haji; kempen kebersihan peringkat maktab dan peringkat Masya’ir; dan sajian sedia untuk dimakan semasa operasi Masya’ir,” katanya.– BERNAMA