Malaysia Dateline

Malaysia era pentadbiran baharu berada di laluan tepat, kata Ipsos

Lebih separuh dari rakyat Malaysia berpendapat negara ini sedang mengikut hala tuju sewajarnya selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Sebanyak 57 peratus rakyat Malaysia memberikan reaksi positif terhadap hala tuju pentadbiran kerajaan baharu walaupun kegembiraan pasca PRU-14 mulai berkurangan selepas setahun pentadbirannya.

Pengurangannya mencatat hampir 43 peratus rakyat Malaysia berpendapat bahawa negara ini tidak mengikut hala tuju sewajarnya berbanding dengan hanya 25 peratus pada Julai 2018.

Statistik itu didedahkan oleh Ipsos yang menjalankan kajian untuk Menyingkap Perkara Membimbangkan Rakyat Malaysia: Adakah Malaysia Mengikut Hala Tuju Sewajarnya?

Menurut Pengarah Urusan Ipsos Malaysia, Arun Menon, berkata, setakat Mac hingga April 2019,kajian mendapati bahawa tiga kebimbangan utama rakyat Malaysia hari ini ialah Jenayah dan keganasan; kos sara hidup; dan rasuah.

“Keresahan tentang jenayah dan keganasan dalam masyarakat menjadi kebimbangan paling utama yang mencatat sehingga 39 peratus berbanding kos sara hidup sebanyak 34 peratus. Manakala rasuah dan kewangan politik pula mencatat hanya 32 peratus kebimbangan.

“Berbeza dengan dapatan pada bulan Mac hingga April tahun lalu dimana kebimbangan utama rakyat Malaysia adalah Rasuah (47 peratus), Jenayah dan keganasan dalam masyarakat (40 peratus) dan kos sara hidup (32 peratus).

“Ini bermakna, rasuah kini kurang membimbangkan rakyat Malaysia berbanding setahun lalu. Kedudukan rasuah telah menurun ke tangga ke empat dalam senarai kebimbangan utama rakyat Malaysia di Wilayah Tengah dan juga dalam kalangan bukan bumiputera,”katanya.

Beliau turut menambah, kebimbangan tersebut telah digantikan dengan kos sara hidup yang menjadi fokus utama bagi rakyat Malaysia dikawasan bandar terutama golongan belia berumur antara 18 hingga 24 tahun serta golongan isi rumah berpendapatan rendah (RM1,000-RM3,000).

Dalam pada itu, kajian turut mendapati bahawa sentimen rakyat Malaysia terhadap ekonomi kini kurang optimistik dan mereka merasakan keadaan ekonomi semasa di kawasan setempat masing-masing semakin lemah selepas PRU14.

“Hanya 27 peratus rakyat Malaysia menjangkakan pengukuhan ekonomi dalam tempoh 6 bulan akan datang berbanding dengan 57 peratus selepas PRU14,”ujarnya lagi.

Keresahan tentang jenayah dan keganasan dalam masyarakat menjadi kebimbangan paling Utama.