Malaysia Dateline

Malaysia Future Leaders School bertujuan terap nilai murni kepada belia

Malaysia Future Leaders School (MFLS) diwujudkan mengikut prinsip Japan Future Leaders School tetapi disesuaikan dengan landskap dan acuan Malaysia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata melalui program itu, sifat kepimpinan dan nilai murni akan diterapkan dalam diri anak muda bagi mengukuh dan menyerlahkan lagi potensi mereka untuk menjadi pemimpin hebat masa hadapan.

“Yang menentukan kejayaan ialah nilai hidup yang baik yang dijadikan budaya oleh seseorang atau sesuatu kaum sehingga ia menjadi satu cara hidup atau a way of life bagi sesuatu bangsa.

“Harapan kita penerapan nilai-nilai yang baik ketika mereka masih muda akan dapat mereka hayati dan jadikan budaya kehidupan mereka,” kata beliau pada perasmian Malaysia Future Leaders School di Universiti Malaya malam tadi.

Turut hadir isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut Perdana Menteri, nilai-nilai orang Jepun akan diterapkan melalui MFLS untuk membentuk pemimpin masa hadapan yang mempunyai nilai keperibadian yang tinggi dari aspek integriti, inklusif, kecemerlangan, kesukarelawanan, tanggungjawab, daya saing dan kemasyarakatan.

“Sebagai contoh, pekerja di Jepun sangat teliti dalam melaksanakan tugas demi menghasilkan produk atau perkhidmatan yang berkualiti tinggi. Budaya ‘teliti’ ini telah sebati dalam kehidupan harian mereka dan bukan hanya dalam urusan kerja sahaja”, katanya.

“Resipi kejayaan Jepun dan Korea Selatan adalah bersandarkan kepada disiplin, kesetiaan kepada negara, keutamaan kepada kehidupan bermasyarakat, penekanan kepada kualiti dan sentiasa mempraktikkan nilai-nilai positif dalam kehidupan seharian.

Dr Mahathir berkata selaras dengan itu walaupun Dasar Pandang ke Timur telah wujud hampir 37 tahun, namun dasar itu yang diperkenalkan pada 1982 masih relevan hingga ke hari ini.

Beliau berkata pembentukan minda dan nilai dalam kalangan anak muda hari ini amat berbeza berbanding generasi dahulu kerana sumber nilai dahulu datang secara tradisional dan konvensional seperti ibu bapa, guru, didikan agama dan pembelajaran sivik.

“Hari ini, sumber nilai adalah pelbagai. Selain daripada sumber tradisional yang saya perkatakan, perkembangan teknologi maklumat yang begitu pesat membuka pelbagai ruang dan menembusi pemikiran seluruh lapisan masyarakat terutamanya generasi muda.

“Terdapat di kalangan anak muda masa kini yang lebih suka merujuk sesuatu perkara di internet dan media sosial tanpa sebarang keperluan kajian terlebih dahulu,” tegasnya.

Beliau turut mengakui anak-anak muda kini lebih asyik dengan permainan atas talian rata-ratanya boleh menyuntik pengaruh dan secara tidak langsung membentuk keperibadian mereka.

Justeru, MFLS diperkenal sebagai pendekatan untuk menyahut cabaran Revolusi Industri 4.0 dengan memastikan anak muda berupaya menggunakan dan menangani teknologi moden secara positif dan berkesan.

— BERNAMA