Malaysia harap dapat tambahan 10,000 kuota haji

Malaysia harap dapat tambahan 10,000 kuota haji

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tabung Haji (TH) berharap akan mendapat tambahan 10,000 lagi kuota haji pada tahun ini berbanding hanya 5,000 kuota tambahan pada tahun lepas, kata Pengerusinya Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Beliau berkata Tabung Haji akan meminta bantuan Pejabat Perdana Menteri untuk menghantar surat permohonan kepada Raja Arab Saudi.

“Kelazimannya memang akan ada penambahan kuota pada saat-saat akhir di samping atas nama persahabatan Perdana Menteri dengan kerabat Raja Arab Saudi serta hubungan baik antara kedua-dua negara.

“Seperti tahun lepas, walaupun negara Iran tidak disekat jemaahnya kita tetap mendapat tambahan sebanyak 5,000…pada tahun ini dengan penyekatan Iran, mungkin tambahan kuota akan lebih besar,” katanya pada majlis penyerahan hadiah kepada Johan Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan di sini, hari ini.

Abdul Azeez juga mengingatkan semua bakal jemaah untuk sentiasa mengemas kini akaun, surat tawaran dan nombor telefon agar senang untuk dihubungi pihak TH.

Sementara itu, Johan Qari dan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan kali ke-59, Wan Ainuddin Abdullah dan Nor Azrah Ayub, masing-masing menerima hadiah sebuah Proton Exora sumbangan TH.

Wan Ainuddin melahirkan rasa syukur dan berharap TH dapat meneruskan lagi pemberian hadiah seperti itu yang dianggap sebagai penghargaan kepada peserta tilawah.

Bagi Nor Azrah pula, beliau turut bersyukur dan kebetulan esok merupakan hari ulang tahun kelahiran anaknya yang kelima sekaligus memberikan kegembiraan berganda buat keluarga itu.

TH mengambil inisiatif melibatkan diri dalam majlis tilawah seumpama itu bertujuan untuk menyokong, menyemarak dan mengembangkan syiar Islam di samping mengimarahkan lagi pertandingan tersebut.

Ketika ditanya mengenai wang pampasan untuk jemaah yang terkorban dan cedera dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram September tahun lepas, Abdul Azeez percaya kerajaan Arab Saudi sedang menguruskannya.

“TH sentiasa berhubung dengan kerajaan Arab Saudi dan kita pun tak boleh terus nak tekan mereka (Arab Saudi) …kita harus bersabar,” katanya.

Sebelum ini, Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dilaporkan telah mengarahkan pemberian wang pampasan SR1 juta kepada keluarga mangsa yang terkorban, cedera teruk dan mengalami kecacatan kekal dalam tragedi itu manakala SR500,000 bagi mangsa yang cedera ringan.

Tragedi pada 11 Sept lepas itu mengorbankan lebih 100 orang jemaah dari seluruh dunia termasuk tujuh dari Malaysia.

TAGS