Malaysia Dateline

Malaysia harus berani ganda penggunaan biodiesel sawit untuk kukuhkan industri sawit

Malaysia harus berani menggandakan penggunaan biodiesel sawit bagi mengukuhkan industri sawit dan ekonomi negara, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangunan mampan dan berterusan industri sawit negara juga akan membantu 650,000 pekebun kecil sawit di mana pekebun kecil ini amat memerlukan dasar-dasar yang membantu mereka meningkatkan ekonomi mereka.

“Program Biodiesel Negara juga akan membantu negara mencapai objektif low carbon mobility seperti yang digariskan dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11).

“Jika dilihat perkembangan penggunaan biodiesel sawit di negara Indonesia, Indonesia telah melaksanakan program biodiesel B20 secara mandatori semenjak Januari 2016.

“Pada masa sama, Indonesia juga mensasarkan pelaksanaan Program B30 di sektor pengangkutan dan industri pada tahun 2020 dengan agenda utama bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import diesel,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Biodisesel B20 di Sektor Pengangkutan Secara Berfasa di seluruhn negara, di Dataran Merdeka, hari ini.

Seiring majlis pelancaran pada hari ini, beliau yakin Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan akan berjalan dengan lancar dan akan mewujudkan permintaan baru untuk bekalan minyak sawit yang tinggi dalam negara mulai tahun 2020.

“Rakyat Malaysia harus berbangga dengan produk biodiesel sawit sendiri yang kini digunakan sebagai sumber tenaga mampan yang boleh diperbaharui dan memberi sumbangan dalam menangani perubahan iklim dunia,” ujarnya lagi.