Malaysia Dateline

Malaysia harus kekal berkecuali dalam konflik Yaman-Arab Saudi, kata Pemuda AMANAH

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) mengutuk sekeras-kerasnya serangan peluru berpandu ke atas Abha International Airport, Arab Saudi yang telah menyebabkan 26 orang tercedera.

Timbalan ketuanya, Faiz Fadzil berkata, apa sahaja bentuk serangan sebegini tidak boleh diterima kerana ia bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan norma manusia serta menjejaskan keharmonian dan keamanan terutama di Timur Tengah.

Justeru ujarnya, Pemuda AMANAH berpandangan, sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar berkecuali dan tidak berpihak, Malaysia perlu mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman pakatan Arab Saudi di Yaman bagi mengelakkan lebih ramai orang awam terutamanya kanak-kanak terkorban.

“Malaysia harus dilihat memainkan peranan aktif sebagai negara berkecuali dengan mengutuk apa sahaja serangan termasuk serangan yang dilakukan Arab Saudi di Yaman. Kenyataan ini penting bagi memperlihatkan sikap Malaysia yang tegas menolak kekejaman yang dilakukan mana-mana pihak termasuk Arab Saudi.

“Perang yang berlaku di Yaman sejak 2016 yang dikepalai oleh pakatan Arab Saudi telah mengakibatkan ratusan ribu orang awam yang tidak berdosa terkorban,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Jelas Faiz, menurut laporan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jumlah kematian yang dicatatkan di Yaman akibat perang sehingga kini adalah sebanyak 102,000 orang dan boleh meningkat kepada 223,000 jika perang ini berlarutan sehingga tahun 2020.

Manakala yambahnya, 131,000 orang yang lain terbunuh akibat kekurangan makanan, masalah kesihatan, dan infrastuktur semasa perang. Di samping itu, perang ini juga telah banyak memusnahkan rumah ibadat seperti masjid, hospital, rumah orang awam dan sebagainya.

“Sejak Pakatan Harapan mentadbir Putrajaya, sikap berkecuali ini telah ditunjukkan dengan penarikan balik tentera Malaysia yang ditempatkan di Arab Saudi.

“Maka, Pemuda AMANAH menggesa Malaysia memainkan peranan lebih proaktif menggunakan saluran diplomasi bagi mencapai hasrat menghentikan konflik Yaman-Arab Saudi,” ujar Adun Permatang Pasir itu.