Malaysia harus ketuai negara Islam, Asean hentikan genosid  etnik Rohingya

Malaysia harus ketuai negara Islam, Asean hentikan genosid etnik Rohingya

 

Kerajaan Malaysia digesa bertindak segera menghentikan kekejaman dilakukan ke atas etnik Rohingya oleh junta tentera Myanmar dengan tindakan proaktif bukan hanya mengutuk kezaliman dilakukan, kata Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia perlu menyelaras inisiatif negara-negara Islam, ASEAN serta dunia antarabangsa.

“Kita perlu untuk mencari penyelesaian adil yang jelas tidak mampu dilakukan kerajaan Myanmar dengan sendirinya.

“Apa yang sedang dilakukan junta tentera Myanmar membuktikan bahawa pembantaian ke atas etnik Rohingya adalah satu keganasan yang dilakukan regim Myanmar sendiri.

” Walaupun campur tangan dalam urusan dalaman negara jiran adalah sesuatu yang sentiasa ingin dielak, kezaliman sebegini rupa tidak boleh didiamkan begitu sahaja.

“Sambil kerajaan Indonesia, Turki dan Iran bersuara membantahnya, sunyinya kerajaan Malaysia dalam isu ini membinggungkan kita.

” Ke mana perginya semangat persaudaraan Islam yang dilaung-laungkan sebelum ini?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

{loadposition myposition} Semalam, media antarabangsa melaporkan pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi kini berdepan tekanan dari negara-negara Islam termasuk Bangladesh, Indonesia dan Pakistan bagi menghentikan keganasan di Rakhine yang menyaksikan rumah-rumah penduduk Islam Rohingya terus dibakar sehingga memaksa mereka beramai-ramai melarikan diri ke sempadan Bangladesh.

Menurut laporan berkenaan, sehingga kini, hampir 125,000 pelarian dilapor melarikan diri ke Bangladesh dan angka korban penduduk Rohingya dikatakan berjumlah 3,000 orang.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, AMANAH mendesak kerajaan Myanmar untuk sama ada menunaikan tanggungjawabnya terhadap rakyatnya, khususnya kaum Rohingya atau, sekiranya tidak mampu atau tidak sanggup, untuk membebaskan mereka dan tanah air mereka dari terus dikongkongnya. Dalam erti kata lain, berikan autonomi kepada wilayah Arakan.

“Ini memberikan gambaran bahawa bagi kerajaan Myanmar, penyelesaian terhadap persoalan berbezanya agama, bangsa, bahasa dan budaya adalah secara genosid atau pembersihan etnik.

“Kerajaan yang sepatutnya bertanggungjawab untuk membela dan melindungi rakyatnya, sebaliknya menjadi institusi yang menganjur pembunuhan, penyeksaan, rogol dan pembantaian rakyat minoritinya termasuk golongan wanita, kanak-kanak dan orang tua.

“Adalah jelas bahawa sikap dan tindakan kerajaan dan tentera Myanmar perlu dikutuk dan dihentikan. Tiada alasan yang boleh diterima untuk mengharuskan kezaliman yang sebegini dahsyat. Tiada tempat bagi amalan sebegini dalam dunia bertamadun.

” Genosid dan pembersihan etnik sekejam ini malangnya turut didalangi pimpinan Buddhist Myanmar. Ini mencemarkan imej agama Budhha yang sekian lama dilihat sebagai agama perdamaian dan kasih sayang. Adalah diharap persatuan-persatuan Buddha seluruh dunia akan bangkit bersama persatuan-persatuan Islam dan NGO antarabangsa mengutuk kezaliman ini,’ ujarnya.

 

CATEGORIES