Malaysia Dateline

Malaysia hilang peluang pelancongan luar negara jika terus kenakan sekatan ketat

Malaysia akan kehilangan peluang pelancongan yang besar sekiranya terus mengenakan syarat perjalanan yang ketat terhadap pelancong luar negara.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin dalam kenyataan beliau hari ini berkata, Malaysia adalah antara negara terakhir yang membuka sempadan jika dibandingkan dengan negara serantau yang lain.

“Kini sudah tiba masanya untuk Malaysia menggugurkan sekatan yang ketat dan sebaliknya memperkenalkan peraturan mudah terutamanya musim cuti negara-negara Timur Tengah yang akan tiba tidak lama lagi.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin

” Pelancong Timur Tengah kini telah mula membuat rancangan bagi cuti musim panas mereka yang dijangka pada bulan Jun hingga Ogos dan syarat yang tidak begitu ketat akan menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah destinasi pelancongan menarik mereka.

” Malaysia perlu lebih progresif dalam strategi yang direncanakan serta melaksanakan polisi yang seiring dengan matlamat negara untuk beralih ke endemik,” ujar beliau.

Katanya lagi, strategi dan pelan untuk keluar dari Covid-19 haruslah menyeluruh dan kerajaan perlu mengekalkan daya saing dan dalam jangka masa panjang mesti menyuntik semula semangat daya saing tersebut bagi memastikan pertumbuhan ekonomi pelancongan negara bertambah serta meningkat.