Malaysia Dateline

Malaysia-Indonesia jalin kerjasama perkukuhkan pertahanan negara

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mengesahkan komitmen kerajaan untuk mempertingkatkan kerjasama pertahanan dua hala antara rakan sejawatannya H. Prabowo Subianto menteri pertahanan Indonesia.

Kerjasama dua hala itu merangkumikomitmen untuk terus mempertingkatkan kerjasama pertahanan sedia ada bagi kepentingan bersama dalam mencapai keharmonian, kestabilan dan kemakmuran di rantau Asia Tenggara.

Kunjungan H. Prabowo Subianto itu sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia bermula hari ini sehingga esok.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan berkata, lawatan ini merupakan lawatan rasmi pertama ke luar negara oleh H.Prabowo Subianto selepas dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada 23 Oktober 2019.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua Menteri turut bertukar pandangan mengenai isu yang mempunyai kepentingan strategik dan operasi bagi kedua-dua negara.

Landskap keselamatan global yang dinamik turut disentuh oleh kedua-dua Menteri dan ancaman keselamatan bukan tradisional khususnya ancaman keganasan menjadi fokus utama bagi kedua-dua pihak.

Mohamad dan H. Prabowo Subianto memperakui bahawa lawatan rasmi ini mencerminkan hubungan pertahanan dua hala yang erat dan dinamik antara kedua-dua negara.

Lawatan rasmi ini juga turut mengesahkan komitmen Indonesia kepada Malaysia sebagai rakan pertahanan utama di rantau ini.

Kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Indonesia terutamanya di antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) telah
lama terjalin dan giat berkembang melalui Jawatankuasa Am Persempadanan yang telah ditubuhkan pada tahun 1972.

Kenyataan menyebut, hubungan pertahanan ini turut diperkukuhkan melalui beberapa inisiatif keselamatan sub-rantau seperti Malacca Straits Patrol (MSP) dan Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) yang melibatkan Filipina.

Hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia disifatkan sebagai satu hubungan yang rapat dan lawatan rasmi ini akan terus menyumbang kepada
pengukuhan hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.