Malaysia Dateline

Malaysia jumpa Thailand pada separuh akhir Piala AFF Suzuki

Malaysia berdepan laluan sukar selepas dijadualkan menentang juara bertahan, Thailand pada aksi separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki pada awal bulan depan.

Thailand mara ke separuh akhir selepas menang selesa 3-0 ke atas Singapura pada aksi terakhir kumpulan B di Stadium Rajamangala, Bangkok, malam ini, sekaligus muncul juara kumpulan.

Malaysia pula mara ke separuh akhir selaku naib juara kumpulan B setelah menang selesa 3-0 ke atas Myanmar pada aksi terakhir pusingan awal di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Perlawanan separuh akhir berkenaan akan menggunakan format timbal balik dengan skuad negara bakal melayan kunjungan Thailand pada 1 Dis sebelum aksi separuh akhir kedua di Bangkok, Thailand pada 5 Dis ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Michael Ramalingam menerusi posting terbaharu dalam laman Facebook FAM, memaklumkan tiket perlawanan separuh akhir pertama di antara Malaysia dan Thailand hanya akan mula dijual pada 29 Nov ini.

Beliau menjelaskan ia disebabkan tiket perlawanan berkenaan dicetak di Bangkok oleh syarikat tiket yang dilantik Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) selepas berakhirnya perlawanan terakhir Kumpulan B, malam ini.

Stuart, bagaimanapun, berkata peminat skuad bola sepak negara boleh mendapatkan tiket perlawanan berkenaan secara dalam talian di laman sesawang www.tickethotline.com.my bermula esok.

“Penyokong kemudian boleh menebusnya di kaunter penebusan tiket di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang akan dibuka bermula pada Khamis ini sehingga hari perlawanan pada Sabtu,” katanya.

Stuart memaklumkan penjualan tiket secara fizikal perlawanan berkenaan hanya akan bermula pada 29 dan 30 Nov ini di tiga saluran iaitu kaunter tiket Stadium Nasional, Bukit Jalil; Wisma FAM di Kelana Jaya dan di outlet terpilih Al-Ikhsan Sports.

Beliau berkata sekiranya masih ada tiket yang masih belum habis terjual, peminat boleh mendapatkan tiket perlawanan yang akan dijual di kaunter tiket Stadium Nasional pada Sabtu.

Stuart turut memaklumkan harga tiket untuk aksi Malaysia dan Thailand pada Sabtu ini ditetapkan sebanyak RM40 bagi tempat duduk grandstand, RM30 (tempat duduk terbuka) dan RM5 bagi tiket kanak-kanak.

— BERNAMA