Malaysia kaji kurangkan ketidakseimbangan perdagangan Vietnam-Malaysia

Malaysia kaji kurangkan ketidakseimbangan perdagangan Vietnam-Malaysia

Malaysia sedang mengkaji untuk mengurangkan ketidakseimbangan perdagangan dengan Vietnam, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Malaysia mahu melihat saiz perdagangan meningkat tetapi dengan lebih banyak import oleh Malaysia dari Vietnam bagi mengurangkan ketidakseimbangan perdagangan antara kedua-dua negara.,” katanya pada sidang media bersama dengan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc di Hanoi hari ini.

Dr Mahathir tiba di Hanoi pada Isnin malam bagi lawatan rasmi tiga hari ke republik sosialis itu atas undangan rakan sejawatnya.

Dr Mahathir berkata pada lawatan itu, pemimpin kedua-dua negara bersetuju untuk memanfaatkan kekuatan ASEAN bagi mengembangkan ekonomi masing-masing dan juga untuk menangani masalah dihadapi rantau dan dunia.

Bagi tempoh Januari-Jun 2019, perdagangan Malaysia dengan ASEAN menguncup 1.9 peratus kepada RM239.43 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2018, menurut data Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Eksport ke rantau itu meningkat 1.6 peratus kepada RM139.39 bilion, dipacu peningkatan eksport produk elektrik dan elektronik, produk besi dan keluli, gas asli cecair, petroleum pekat dan minyak petroleum yang lain, serta peralatan optik dan saintifik.

Import, bagaimanapun, merosot 6.4 peratus kepada RM100.05 bilion pada separuh pertama tahun ini.

Kali terakhir Dr Mahathir melakukan lawatan kerja ke Vietnam adalah pada 1998 untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN, dan kedua-dua negara menjalin hubungan diplomatik sejak 1973.– BERNAMA