Malaysia kalah dalam semua segi, gagal tarik pelaburan asing

Malaysia kalah dalam semua segi, gagal tarik pelaburan asing

Pengumuman Najib melalui 11 langkah penstrukturan dalam pengubahsuaian Bajet 2016 semalam memberi gambaran kedudukan Malaysia yang terperangkap dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI).

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Dr Dzulkefly AhmadPengumuman Najib melalui 11 langkah penstrukturan dalam pengubahsuaian Bajet 2016 semalam memberi gambaran kedudukan Malaysia yang terperangkap dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI).

Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan Malaysia berada dalam situasi kalah untuk bersaing di rantau ini dengan negara yang murah kos buruh seperti Vietnam dan Indonesia.

Pada masa sama, ujarnya, negara ini juga tidak mempunyai modal insan dan buruh yang mahir sekaligus gagal dalam persaingan dengan Singapura dan Hong Kong untuk menggamit FDI yang memberi penekanan kepada industri nilai tambah tinggi.

Beliau berkata, akibat dilema berkenaan, kerajaan BN di bawah Najib memberikan rakyat wang supaya boleh berbelanja seperti melakukan pengurangan caruman tiga peratus sumbangan pekerja untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta pelepasan cukai khas kepada individu berpendapatan RM8,000 sebulan dan ke bawah.

“Ternyata Najib mengakui negara ini memerlukan rakyatnya berbelanja untuk memacu pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar).

“Namun, apa kesan kepada rakyat yang dikorbankan simpanan masa depan mereka? Bagi rakyat yang miskin tegar pula diberikan 20 kilo beras hancur,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Menurut beliau, pertumbuhan ekonomi negara ini jelas telah dipacu oleh permintaan domestik secara total yang bergantung pada permintaan semua pihak termasuk isi rumah, swasta dan kerajaan terhadap barangan dan perkhidmatan.

“Mutakhir ini ekonomi Malaysia tidak lagi pertumbuhannya dipacu eksport (export-led growth) atau pelaburan asing (FDI-led growth) tetapi telah bertukar kepada
pemintaan domestik total,” jelasnya.

Sehubungan itu, bekas pemimpin Pas itu berkata, Najib dan Putrajaya sangat peka untuk meletakkan wang dalam saku rakyat supaya boleh berbelanja.

Najib berpura-pura

Mengulas lanjut matlamat semakan Bajet 2016 itu, Dzulkefly menyifatkan Najib berpura-pura tanpa banyak memberikan langkah konkrit bagi menangani pengurangan hasil akibat kejatuhan harga minyak mentah dunia yang pada masa ini berlegar sekitar AS$30 setong.

“Isu asas semakan terhadap Bajet itu kerana harga minyak mentah dunia yang menjunam. Malaysia kehilangan RM5 bilion akibat pengurangan pendapatan RM300 juta bagi setiap kejatuhan AS$1.

“Sebahagian langkah yang Najib umumkan lebih kepada mengulang perkara yang sama. Hampir tidak ada langkah yang jelas bagi menangani kekurangan RM5 bilion itu,” tegasnya.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan keputusan kerajaan memperkemas sistem pengurusan pekerja asing dengan mengklusterkan kadar levi kepada dua kategori sahaja.

“Najib sebelum ini beritahu kita bahawa GST menyelamatkan ekonomi Malaysia. Jadi, adakah ekonomi negara sekarang diselamatkan oleh pekerja asing pula?” tambahnya lagi.

TAGS