Malaysia Dateline

Malaysia kekal mesra perniagaan dan pasaran, kata Najib

Malaysia akan terus berusaha menjadi lebih mesra perniagaan dan pasaran, selain meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan kecekapan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata Malaysia menyediakan banyak pelaburan dan insentif untuk memastikan negara dapat memanfaatkan pertumbuhan ekonomi global baharu.

Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan, terus memperkenalkan langkah-langkah untuk meningkatkan lagi kedinamikan pasaran modal kita.

“Saya boleh memberi jaminan mengenai pengenalan langkah-langkah seterusnya dalam masa terdekat,” katanya dalam ucaptama pada Invest Malaysia 2018 di sini hari ini.

Persidangan Invest Malaysia Ke-14 selama dua hari itu dianjurkan bersama oleh Bursa Malaysia Bhd dan Maybank. Acara itu diadakan setiap tahun.

Ia menarik 61 buah syarikat tempatan, daripada syarikat senaraian awam bermodal besar hingga sederhana dengan permodalan pasaran sebanyak RM767.6 bilion.

Najib menegaskan kedudukan kukuh Malaysia hari ini adalah hasil daripada keputusan sukar yang diambil oleh kerajaan, yang turut menyaksikan kepelbagaian sumber pendapatan.

“Kami mengelak Malaysia daripada terjejas teruk susulan penurunan besar harga minyak dengan mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak dan gas daripada 41 peratus pada 2009 kepada 14 peratus hari ini.

“Langkah itu telah dapat menyelamatkan Malaysia. Jika kita masih bergantung kepada hasil minyak dan gas, ia akan menjadi satu bencana,” kata Najib.

Beliau juga berkata pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan merupakan langkah yang sukar tetapi keputusan yang perlu dan berpandangan jauh serta perkara yang betul untuk dilakukan walaupun ia bukan langkah yang popular.

Perdana Menteri turut menggesa pelabur untuk melabur dalam potensi Malaysia dan menjadi sebahagian daripada kejayaannya.

Beliau turut berkongsi banyak kisah kejayaan Malaysia pada acara itu, yang antaranya menjelaskan perdagangan Malaysia berkembang dengan kukuh sebanyak 20.8 peratus dari Januari hingga November 2017.

Pada November sahaja, eksport kasar mencapai pertumbuhan dua angka sebanyak 14.4 peratus, atau RM83.5 bilion.

Pada 2017, aliran masuk dana bersih asing mencatatkan positif RM10.8 bilion, tertinggi sejak 2012, manakala bon korporat dan terbitan sukuk baharu berjumlah RM111.2 bilion untuk tempoh 11 bulan 2017, hampir kepada 30 peratus lebih tinggi berbanding keseluruhan 2016.

Najib berkata tidak hanya terhad kepada pasaran modal, indeks Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia bagi 2017-2018 menilai Malaysia amat tinggi daripada 137 buah negara, dan Malaysia berada pada tempat ketiga bagi Kekuatan Perlindungan Pelabur, kelima bagi Gaji dan Produktiviti, kelima bagi Beban Peraturan Kerajaan yang rendah dan ke-14 bagi sistem Kualiti Pendidikan.

Satu lagi pengiktirafan global adalah daripada Tabung Kewangan Antarabangsa, yang memuji apa yang dikenali tindak balas dasar makroekonomi kita yang baik, dalam menghadapi halangan dan risiko dalam laporan terkini.

Ia berkata ekonomi Malaysia telah menunjukkan daya tahan dalam beberapa tahun ini dan terus mencatat prestasi yang baik,” katanya.

Baru-baru ini, Bank Dunia turut mengesahkan bahawa ia percaya Malaysia berada pada landasan yang betul, menyatakan negara dijangka mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam beberapa tahun akan datang.