Malaysia kekalkan kejuaraan kategori wanita Skuasy Berpasukan Remaja Asia

Malaysia kekalkan kejuaraan kategori wanita Skuasy Berpasukan Remaja Asia

Malaysia mengekalkan kejuaraan bagi kategori wanita buat kali ketiga berturut-turut dalam Kejohanan Skuasy Berpasukan Remaja Asia dengan menewaskan Hong Kong 2-0 dalam edisi ke-19 kejohanan itu yang berlangsung di Pattaya, Thailand, hari ini.

Aifa Azman memperoleh mata pertama buat Malaysia setelah menundukkan Chan Sin Yuk;11-5, 6-11, 11-6, 7-11 dan 11-8 dalam perlawanan di Ambassador City Jomtien, Pattaya, menurut laman sesawang Persekutuan Skuasy Asia (ASF), www.asiansquash.org.

Ooi Kah Yan memastikan kemenangan Malaysia dengan menumpaskan Lee Sum Yuet; 11-9, 8-11, 12-10, 4-11 dan 13-11 dalam perlawanan kedua.

Untuk rekod , Malaysia menjuarai kategori wanita berturut-turut pada 2015 dan 2017.

Pasukan remaja lelaki Malaysia pula berkongsi tempat ketiga bersama Hong Kong selepas tewas 1-2 kepada India dalam perlawanan separuh akhir pada Sabtu.

— BERNAMA