Malaysia, Kemboja komited tingkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala

Malaysia, Kemboja komited tingkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala

Malaysia dan Kemboja komited permudahkan tindakan yang diperlukan untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala antara kedua-dua negara.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Wisma Putra selepas mesyuarat dua hala antara Perdanan Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya Hun Sen di Kemboja, hari ini, kedua-dua pemimpin itu menyatakan puas hati dengan kemajuan berterusan yang dibuat oleh sektor awam dan swasta dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan.

Menurut kenyataan itu, Dr Mahathir dan Hun Sen menggalakkan kedua-dua pihak agar terus menerokai langkah dan pendekatan inovasi bagi mengukuhkan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

Ia menyebut bahawa kerajaan Kemboja menyambut baik ahli perniagaan Malaysia untuk merebut peluang di Kemboja terutama dalam bidang pertanian, pendidikan, pelancongan dan infrastruktur, manakala kerajaan Malaysia menggalakkan sektor swasta meningkatkan kedudukan dalam memperluaskan perdagangan menerusi kerjasama dalam projek pembangunan jangka panjang di Kemboja.

“Kerajaan Malaysia juga komited untuk meningkatkan perdagangan menerusi inisiatif rentas-sempadan dalam lingkungan ASEAN dan platform digital seperti e-perdagangan,” menurutnya.

Dr Mahathir adalah dalam lawatan rasmi tiga hari ke Kemboja bermula Isnin.

Kedua-dua pemimpin berkenaan juga menggalakkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang pembangunan industri halal di Kemboja.

Kerajaan Kemboja berterima kasih dengan kerajaan Malaysia (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia-Jakim) di atas bantuan teknikal yang berterusan dalam memudahkan proses dan prosedur mendapatkan sijil halal, demikian menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Malaysia dan Kemboja mengakui bahawa bidang kerjasama dalam pertahanan perlu diperkukuhkan menerusi lebih banyak latihan dan perkongsian maklumat.

“Kedua-dua pemimpin itu juga mengetahui peningkatan ancaman pengganas dan radikal di peringkat global dan penyelarasan yang lebih baik dari segi keselamatan perlu diwujudkan antara kedua-dua negara,” katanya dan menambah bahawa mereka juga menekankan pentingnya kerjasama keselamatan terutama dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan meskipun terdapat cabaran keselamatan dan ancaman di rantau ini.

Menurut Wisma Putra, kedua-dua pemimpin menggalakkan agensi yang berkaitan agar terus mengukuhkan rangkakerja yang dipersetujui dalam hubungan pekerja dan menggalakkan kerjasama dan penyelarasan erat bagi melindungi hak asasi dan menjaga kebajikan pekerja dari Kemboja ke Malaysia.

Kedua-dua pemimpin juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan sejagat berhubung kepentingan dan rasa tanggungjawab termasuk kerjasama dalam kalangan negara anggota ASEAN, isu membabitkan Laut China Selatan, perkembangan di Rakhine State, berhadapan pengganas dan isu semasa sejagat yang lain.– BERNAMA