Malaysia Dateline

Malaysia kemuka cadang balas gantung RA, lLS hingga 31 Mac

Malaysia mencadangkan penggantungan kawasan larangan kekal (RA) di ruang Pasir Gudang, Johor dan pelaksanaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) di Lapangan Terbang Seletar, Singapura dilanjutkan sehingga 31 Mac ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata cadangan balas itu dikemukakan kepada pejabat Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur, pagi tadi.

Katanya, Singapura sebelum ini mencadangkan supaya tempoh penggantungan RA dan ILS dilanjutkan sehingga 31 Mei, namun Malaysia berpendapat ia terlalu lama.

“Cadangan itu (lanjut sehingga 31 Mei) saya bawa kembali dan laporkan ke Kabinet, semalam, namun Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) kata tempoh itu panjang.

“Beliau (Dr Mahathir) mahu ia dipendekkan, justeru pagi tadi saya kemukakan cadangan balas dengan menghubungi pejabat Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, ia terpulang kepada Singapura untuk mempertimbangkan cadangan balas ini,” katanya pada sidang media selepas meninjau operasi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Zon Wilayah Tengah, hari ini seperti dipetik bhonline.

Kementerian Luar Malaysia dan Singapura, pada 8 Januari lalu mencapai persetujuan bersama untuk menggantung pewujudan RA di ruang udara Pasir Gudang dan pelaksanaan tatacara ILS di Lapangan Terbang Seletar.

Penggantungan pewujudan RA di ruang udara Pasir Gudang dan tatacara ILS itu berkuat kuasa serta merta secara bersama untuk tempoh sebulan sebagai permulaan.

Kelmarin, Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan, mengemukakan cadangan kepada Malaysia untuk melanjutkan tempoh penggantungan RA dan ILS bagi membolehkan lebih banyak perbincangan rasmi dilakukan kedua-dua negara untuk menyelesaikan perkara terbabit.

Sekiranya Singapura bersetuju dengan cadangan balas itu, Loke berkata, langkah seterusnya iaitu memeterai perjanjian bertulis antara kedua-dua negara akan dilakukan secepat mungkin.

“Oleh itu, perkara ini belum muktamad. Kita tunggu apa jawapan Singapura,” katanya.