Malaysia Dateline

Malaysia komited bangunkan koridor ekonomi BIMP-EAGA

Kerajaan Malaysia amat komited untuk membantu dan membangunkan koridor ekonomi baharu di kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei -Indonesia -Malaysia -Filipina(BIMP-EAGA).

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen, komitmen antara kerajaan dan sektor swasta adalah penting dalam membangunkan wilayah BIMP-EAGA.

Dengan demikian katanya, lebih banyak projek dijangka akan dapat dilaksanakan menerusi kerjasama antara wilayah tersebut.

Jelas beliau,kerajaan sentiasa konsisten dalam menggalakkan sektor swasta untuk merebut peluang pelaburan yang berpotensi menerusi BIMP-EAGA ini.

“Jika ifrastruktur bertambah baik dan kesediaan modal insan di wilayah ini,maka ia membolehkan kita berupaya menarik lebih banyak pelaburan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) BIMP-EAGA di sebuah hotel terkemuka di Kuching malam tadi.

Sebelum itu, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Brunei Dr May Faezah Ahmad Ariffin berucap telah berkata, dalam usaha bergerak maju ke hadapan bagi memastikan sub-wilayah itu kekal releven, komitmen berterusan pihak berkepentingan amat diperlukan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai kanan yang memberi sokongan padu kepada beliau sepanjang menjadi pengerusi setahun lalu.

SOM BIMP-EAGA malam tadi dihadiri seramai 150 delegasi yang terdiri dari kalangan pegawai kanan Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina.

Mesyuarat Kementerian BIMP-EAGA Ke-23 dan Mesyuarat Berkaitan itu berlangsung dari 21 hingga 24 November ini di Hotel Pullman Kuching.