Malaysia kutuk serangan pengganas di Istanbul

Malaysia kutuk serangan pengganas di Istanbul

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas di Sultanahmet, Istanbul pada Selasa yang mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang awam selain mengakibatkan kecederaan kepada 15 yang lain.

Kenyataan Kementerian Luar Malaysia hari ini menyebut bahawa menurut Kedutaan Malaysia di Ankara, setakat ini, tiada laporan rakyat Malaysia yang terkorban akibat insiden itu.

“Kedutaan itu turut berhubung rapat dengan rakyat Malaysia, termasuk pelajar kita di Istanbul,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut kerajaan Malaysia merakamkan simpati yang amat mendalam kepada kerajaan dan rakyat Turki selain keluarga serta mangsa yang terjejas akibat serangan itu.

Kementerian itu turut mengingatkan rakyat Malaysia yang tinggal dan melakukan perjalanan ke Istanbul supaya sentiasa memberi keutamaan kepada keselamatan diri dan keselamatan keadaan di sekeliling mereka, di samping sentiasa memantau serta mematuhi sebarang nasihat yang dikeluarkan kerajaan Turki.

Kementerian, menerusi Kedutaan Malaysia di Ankara, akan terus memantau keadaan, menurut kenyataan itu.

Laporan dari Turki menyebut bahawa serangan itu dilakukan oleh seorang warga asing yang merupakan anggota kumpulan militan Daesh yang bertapak kukuh di Syria dan Iraq.

TAGS