Malaysia Dateline

Malaysia kutuk tindakan Israel pintas kapal misi bantuan ke Gaza

Malaysia hari ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera laut Israel pada Ahad yang memintas sebuah daripada kapal kumpulan ‘Freedom Flotilla’ yang didakwa cuba menceroboh masuk ke Gaza yang dikenakan sekatan oleh regim itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kapal Al-Awda sedang dalam misi kemanusiaan ke Gaza, Palestin, bersama-sama 22 aktivis daripada seluruh dunia, termasuk seorang rakyat Malaysia, Prof Dr Mohd Afandi Salleh.

Beliau menggesa masyarakat antarabangsa untuk bersama-sama dengan Malaysia dalam mengutuk tindakan itu dan mengesa bagi sekatan ke atas Gaza ditarik balik.

“Situasi kemanusiaan di penempatan Palestin di Gaza yang semakin meruncing memerlukan perhatian segera dan tindakan menghalang bantuan daripada sampai kepada penduduk Palestin adalah bertentangan dengan piawaian asas hak asasi manusia dan keadilan sosial,” katanya dalam catatan di Twitter.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata sekatan ke atas Gaza perlu dihentikan dan kebebasan pergerakan bagi semua rakyat Palestin perlu dilaksanakan semula.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCare) Kamarul Zaman Shaharul Anwar, dalam kenyataan pada Ahad malam, berkata kapal Al-Awda terputus hubungan komunikasi dengan pihak media Freedom Flotilla Coalition.

Dalam laporan terakhir diterima daripada radio kapal itu, pegawai memerintah kapal itu berkata empat kapal perang Israel dilihat mendekati kapal itu.

“Kami terputus hubungan dengan kapal itu pada 7.15 malam (waktu Malaysia) (1.15 tengah hari waktu Gaza) apabila kapal berada pada kedudukan kurang 49 batu nautika dari Gaza,” katanya.