Malaysia kutuk ujian bom hidrogen Korea Utara

Malaysia kutuk ujian bom hidrogen Korea Utara

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Malaysia mengutuk dengan sekeras-kerasnya ujian bom hidrogen bawah tanah yang dilakukan oleh Republik Demokratik Rakyat Korea pada 6 Januari, semalam.

Menteri Luar Negeri, Dato’ Sri Anifah Aman dalam satu kenyataan yang disiarkan Bernama menyifatkan ujian bom hidrogen itu sebagai pencabulan jelas terhadap Resolusi-Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta suatu bentuk penentangan yang serius kepada rejim pelucutan dan pengawalan senjata antarabangsa.

“Malaysia amat kesal dengan insiden terbaharu ini yang merupakan ancaman merbahaya kepada keamanan dan keselamatan di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Ia juga menjejaskan usaha-usaha global ke arah mencapai matlamat sejagat mengenai pelucutan senjata secara lengkap dan menyeluruh.

“Tindakan-tindakan Republik Demokratik Rakyat Korea sejak beberapa tahun kebelakangan ini hanya menyumbang kepada peningkatan ketegangan di peringkat serantau serta menjejaskan prospek keamanan yang berkekalan di Semenanjung Korea dan dunia secara amnya,” tegas beliau.

Tambahnya, Malaysia menggesa Republik Demokratik Rakyat Korea supaya menghentikan sebarang ujian lanjut dan mematuhi sepenuhnya Resolusi-Resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan, dengan tujuan mengekalkan keamanan dan keselamatan di peringkat serantau dan antarabangsa.

TAGS