86.9 peratus dari 8,860 responden setuju Konsep Malaysia Madani

Oleh BORHAN AHMAD

Sejumlah 86.9 peratus daripada 8,860 responden di seluruh negara menyatakan mereka bersetuju dengan konsep Malaysia Madani, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Menurutnya, hasil kaji selidik Jabatan Penerangan kira-kira lima bulan lalu itu turut mendapati 68.1 peratus responden menyatakan bahawa mereka memahami konsep berkenaan.

“Ini adalah petanda positif, di pihak kementerian kita ambil maklum dan berusaha untuk memastikan bahawa ia bukan sekadar retorik.

” … ini memang jelas daripada usaha dan ikhtiar kerajaan dari segi ekonomi, menjaga tatasusila dalam kalangan masyarakat, keharmonian, perpaduan, keutuhan masyarakat itu sendiri dan diterjemah lebih daripada semata-mata slogan atau konsep.

“Alhamdulillah pada waktu ini, hasil ekonomi dan pelaburan yang masuk dan sebagainya memang jelas ia mendatangkan hasil yang positif kepada rakyat,” katanya.

Fahmi berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Azhar Ahmad yang ingin tahu sejauh mana hasil usaha kerajaan bagi menyebarkan informasi serta kefahaman kepada rakyat mengenai konsep Malaysia Madani.

Sementara itu, beliau berkata pelbagai program sedang dan akan dilaksanakan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui jabatan serta agensi termasuk Kita Madani, Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA), Hebahan Info On Wheels (IOW) dan persembahan Edutainment (didik hibur).

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata hebahan melalui media sosial dan digital turut dilaksanakan membabitkan perkongsian maklumat infografik dan videografik daripada pelbagai kementerian dan agensi-agensi kerajaan menerusi platform media digital seperti Instagram, Facebook, YouTube dan TikTok.

Jelasnya, setakat 25 Jun 2023, sebanyak 721 hantaran merangkumi pelbagai mesej Malaysia Madani disebar luas di semua platform media sosial rasmi Jabatan Penerangan, hantaran itu telah mendapat 1.3 juta reach dan 439,000 engagement.

Fahmi berkata Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) turut menyebarluaskan konsep Malaysia Madani melalui pelbagai program.

“(Antaranya) program bual bicara dan kapsul Malaysia Madani oleh RTM yang melibatkan enam saluran televisyen dan 34 stesen radio termasuk stesen negeri dan daerah serta disampaikan dalam pelbagai bahasa.

“Bernama pula menggunakan semua platformnya iaitu Bernama Wires, Bernama TV dan Bernama Radio untuk membuat hebahan meluas kempen penerangan yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan. FINAS juga telah menerbitkan Pesanan Khidmat Awam (PKA) bertajuk ‘Pengertian Logo Malaysia MADANI’ yang telah ditayangkan di semua platform penyiaran dan platform digital,” katanya.

Beliau berkata penerapan mesej dan informasi mengenai konsep Malaysia Madani akan dilaksanakan secara berterusan supaya seluruh rakyat dapat memahami dan menghayati semangatnya dan seterusnya bersama-sama mengangkat semula martabat negara di persada dunia.