Anwar perhalusi saranan G70 mengenai Malaysia Madani

Oleh BORHAN AHMAD

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Pertubuhan Profesor G70 yang diketuai Penasihatnya, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, di pejabat beliau di Putrajaya hari ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan itu berkata, beliau mendengar dan meneliti saranan G70 bagi membantu serta memberikan naratif yang positif untuk kefahaman dan aplikasi menyeluruh terhadap usaha Malaysia Madani.

Perdana Menteri menghadiri perjumpaan bersama Profesor Melayu G70 di Pejabat Perdana Menteri semalam.

“Saya menyambut baik dan meraikan segala bentuk idea dan syor bagi merealisasikan impak dan aplikasi Malaysia Madani kepada rakyat Malaysia, pelbagai peringkat umur dan taraf kehidupan.

“Insya-Allah syor dan saranan daripada G70 akan diperhalusi dan diterjemahkan kepada tindakan bagi manfaat serta kebaikan kepada rakyat dan negara,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Pada 19 Januari lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kerangka dasar baharu untuk negara dikenali ‘Membangun Malaysia Madani’.

Gagasan Malaysia Madani terdiri daripada enam tonggak dasar iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.