Dengan membawa polisi Malaysia Madani, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Laos, Dr Sonexay Siphandone menyaksikan beberapa Memorandum Kerjasama (MoC) antara pihak Malaysia dan Laos.
Antaranya pemeteraian MoC antara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Lao National Railway State Enterprise (LNRSE) serta Mutiara Perlis Sdn Bhd (MPSB) dan Thanaleng Pelabuhan Kering (TDP).
Mereka juga menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Electricite du Lao (EDL).
TNB turut menyatakan hasrat bekerjasama dengan pihak EDL menerusi surat niat (LoI) yang telah diserahkan semasa majlis ini.
“Semoga segala kerjasama yang dimeterai ini akan mengukuhkan lagi pelaburan Malaysia di Laos serta memberi faedah kepada pembangunan sosio-ekonomi kedua-dua negara,” kata PM Anwar dalam kenyataannya.
Semalam, PM Anwar mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Laos Thongloun Sisoulith di Istana Presiden, Vientiane.
“Kunjungan ini mencerminkan hubungan akrab Malaysia dan Laos, termasuk jalinan antara rakyat yang erat serta hubungan ekonomi yang kukuh,” kata Anwar.
Sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur, beliau dan delegasi turut berkesempatan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Dewan Negara Laos Dr Xaysomphone Phomvihane di bangunan Dewan Negara.
“Kami berpeluang membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
“Sampai jumpa lagi dan terima kasih Vientiane atas layanan istimewa kepada saya dan delegasi,” kata Anwar.
Beliau percaya lawatan ini meletakkan hubungan dua hala kedua-dua negara pada landasan yang baik.