
Malaysia mahu tingkat kerjasama dengan China dalam sektor pengangkutan, kata Loke
Malaysia menggesa lebih banyak kerjasama dengan China untuk meningkatkan sektor pengangkutan, terutamanya dalam pembangunan pelabuhan dan perkapalan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata lebih banyak pelaburan daripada syarikat dari republik itu bukan hanya akan meningkatkan rangkaian maritim antara kedua-dua negara tetapi juga hubungan perdagangan, perniagaan dan pelancongan.
“Ia penting bagi kita untuk bersaing dengan negara-negara jiran kita.
“Saya ingin melihat dan melakukan yang terbaik untuk memastikan pembangunan pelabuhan kita terus berkembang dan kami mahu menjadikan Pelabuhan Klang sebagai antara hab paling penting bukan hanya di Asia Tenggara, tetapi juga di dunia,” katanya dalam ucapan pada Malam Persahabatan Malaysia-China di sini, malam ini.
Loke berkata kerjasama itu turut dilihat sebagai meneruskan ‘kesepakatan pelabuhan’ Malaysia-China yang dijalin empat tahun lepas.
“Tahun depan merupakan Tahun Pelancongan Kebudayaan Malaysia-China 2020, hubungan antara kedua-dua negara akan memulakan era baharu dan memasuki pencapaian baharu.
“Ini berdasarkan usaha yang tanpa henti kedua-dua negara, hubungan tersebut telah mencapai hasil yang paling produktif dalam sejarah,”katanya.– BERNAMA