Malaysia mahu universiti Jepun ditubuhkan

Malaysia mahu universiti Jepun ditubuhkan

Sambil menyatakan Jepun adalah model yang betul, Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad yang berada di Fukuoka pada Khamis berkata ada keperluan bagi penubuhan universiti-universiti Jepun di Malaysia untuk rakyat Malaysia mempelajari nilai-nilai orang Jepun.

“Rakyat Malaysia boleh belajar nilai-nilai orang Jepun tanpa pergi ke Jepun,” kata Dr Mahathir, yang diketahui mengagumi budaya kerja dan sistem nilai masyarakat Jepun, di Institut Kepimpinan Kyushu-Asia (KAIL) ketika menyampaikan syarahan yang dihadiri oleh ahli-ahli perniagaan, para eksekutif dan profesional muda yang berpangkalan di Kyushu.

Ditubuhkan pada 2004, KAIL adalah sebuah pertubuhan bukan mencari keuntungan yang menyediakan infrastruktur intelektual dan sosial bagi program-program pendidikan antarabangsa.

Dr Mahathir menjadi penyampai utama pada siri syarahan KAIL itu dan tahun ini adalah tahun ke-15 beliau menyampaikan syarahan di situ.

Malaysia telah menghantar beribu-ribu pelajar untuk melanjutkan pelajaran di institusi-institusi pendidikan tinggi di Jepun di bawah Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan oleh Dr Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri sebelum ini, dengan harapan mereka bukan sahaja dapat mempelajari bidang kejuruteraan dan teknologi, misalnya, tetapi juga etika kerja dan nilai-nilai murni masyarakat itu.

Apabila ditanya oleh seorang peserta mengenai aspek-aspek untuk menambah baik sistem pendidikan Jepun, Dr Mahathir mencadangkan: “Dengan memudahkan orang muda (Jepun) melakukan perjalanan dan mempelajari pengalaman di negara-negara lain. Pada masa yang sama, mereka boleh mempelajari mengenai kebudayaan (dunia) yang lain dalam kelas-kelas.”

Menjawab soalan daripada seorang profesional Jepun mengenai pandangannya tentang peranan Jepun pada masa depan, Dr Mahathir berkata Jepun mempunyai budaya yang baik yang boleh ditunjukkan kepada dunia.

Menurutnya, jikalau pada masa dahulu mereka sanggup melakukan ‘harakiri’ (membunuh diri) daripada menanggung malu kerana gagal, masyarakat Jepun kini boleh mencapai apa sahaja yang mereka lakukan.

Dalam syarahannya berkaitan ‘Dilema Baharu di Asia Yang Berkembang Pesat’ itu, Dr Mahathir membayangkan bahawa dunia akan menjadi majmuk ekoran mudahnya melakukan perjalanan dan melintasi sempadan.

“Akhirnya semua negara akan menjadi negara majmuk. Ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat tetapi lambat-laun ia akan berlaku juga,” katanya.– BERNAMA