Malaysia Dateline

Malaysia makin pelik, Mat Sabu tegur kerajaan buat peraturan ikut nafsu

Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) menyifatkan Malaysia sedang berada dalam keadaan kelam kabut dengan peraturan yang pelik-pelik dikuatkuasakan oleh kerajaan.

Beliau merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melarang penganjuran sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya di Melaka.

Beliau berkata, dalam keadaan Melaka sudah pun beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), kerajaan pula secara tiba-tiba mengetatkan SOP sehingga ceramah umum dan kelompok tidak dibenarkan.

“Perkara pelik-pelik berlaku di Malaysia mutakhir ini. Dulu Ahli Parlimen tak boleh masuk Parlimen. Peliknya juga masa darurat, jangkitan itu paling tinggi berpuluh ribu, mati sampai beratus satu hari, dan kemuncak sampai 360 satu hari.

“Sekarang nak berlaku pilihan raya di Melaka lagi pelik. Melaka dah tahap 4. Restoran penuh, pasaraya penuh, kenduri kahwin boleh buat, kuliah boleh buat. (Tapi) ceramah tak boleh, berkempen tak boleh, rumah ke rumah tak boleh.

“Malaysia ini jadi negara yang pelik dalam dunia, undang-undang yang berubah ikut nafsu pemerintah, bukan peraturan lagi.

“Begitu juga vaksin. Ada menteri tak vaksin, dia kata tak perlu kerana dia ada imun. Kalau begitu, 2 juta lebih yang dijangkiti itu sebenarnya tak perlu ambil vaksin. Jadi dasar vaksin pun bercelaru, PKP bercelaru. Malaysia sekarang kelam kabut,” selarnya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian mencelah perbahasan Datuk Seri Saifuddin Nasution (PH-Kulim Bandar Baharu) yang menyentuh tentang tindakan kerajaan mengetatkan SOP kempen.

Saifuddin berkata, sewaktu darurat dilaksanakan oleh Perikatan Nasional (PN), Perdana Menterinya Tan Sri Mahiaddin Md Yasin memaklumkan bahawa sebagai ketua kerajaan, beliau bertanggungjawab menjaga nyawa rakyat mengikut maqasid syariah dan pilihan raya semasa Covid-19 tidak boleh diadakan.

Justeru katanya, tindakan kerajaan Ismail Sabri yang meneruskan pilihan raya kali ini seolah-olah menunjukkan kerajaan tidak mengamalkan maqasid syariah.

“20 November kita buat pilihan raya di Melaka. Itu agak paradoks. Seolah-olah kerajaan tak amal maqasid syariah. Kita dipaksa berdepan pilihan raya yang kita tak minta pun. Tapi boleh pula diadakan dengan SOP yang sangat ketat.

“Kita cuma bawa kertas pencalonan, calon datang, (diikuti) pencadang dan penyokong. Buat ujian Covid-19, kalau negatif masuk (dewan), (kalau) positif duduk khemah.

“Kemudian balik rumah sebab tak boleh berjalan. Ceramah kelompok tak boleh, ceramah umum tak boleh. Tapi SPR kata digalakkan berkempen guna televisyen. Siapa yang ada tv?,” soalnya.