Malaysia mara ke Final Piala AFF Suzuki 2018

Malaysia mara ke Final Piala AFF Suzuki 2018

Malaysia layak ke final Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2018 walaupun seri 2-2 menentang juara bertahan, Thailand pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam ini.

Keputusan seri itu sudah mencukupi untuk skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe layak ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 1 Disember lepas.

Kejayaan malam ini melunaskan dendam skuad Harimau Malaya yang kalah dengan keputusan agregat 3-4 kepada skuad Gajah Perang pada aksi final edisi 2014.

Beraksi di hadapan lebih 45,000 penyokong tuan rumah nyata tidak menggentarkan skuad Harimau Malaya yang melancarkan serangan bertali arus bagi mencari gol pembukaan.

Nasib lebih menyebelahi Thailand yang mendahului perlawanan hasil kesilapan pemain gantian, Muhammad Irfan Zakaria yang tertolak bola masuk ke dalam gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan bola hasil tandukan Thitipan Puangchan pada minit ke-20.

Gol tersebut, bagaimanapun, tidak mematahkan semangat skuad negara yang kembali mengatur permainan dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi percubaan menarik luar kotak penalti daripada Muhammad Syahmi Safari, selang lapan minit kemudian.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun keputusan seri itu kekal sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.

Sebaik sahaja perlawanan disambung, Thailand kembali menggandakan asakan untuk memburu jaringan tambahan?????? dan mereka berjaya meledak gol kedua menerusi tandukan Pansa Hemviboon pada minit ke-63.

Kedudukan itu tidak bertahan lama apabila penyerang Norshahrul Idlan Talaha menyamakan kedudukan pada minit ke-70 menerusi sepakan menarik di dalam kotak penalti yang menerjah masuk ke dalam gawang Thailand.

Nasib malang seolah-olah menimpa skuad negara kerana terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Muhammad Syahmi dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Jordan, Adham Mohammad Tumah Makhadmeh pada penghujung babak perlawanan setelah mengutip kad kuning kedua kerana tangannya terkena bola di dalam kotak penalti semasa minit akhir permainan.

Bahkan pengadil memberikan sepakan penalti kepada Thailand kerana kesalahan Muhammad Syahmi tetapi nasib masih menyebelahi Malaysia apabila apabila sepakan penalti yang diambil Adisak Kraisorn, melepasi palang gol Malaysia dan keputusan seri itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Menanti Malaysia di final adalah pemenang satu lagi perlawanan separuh akhir antara Vietnam dan Filipina.

Kedua-dua pasukan akan bertemu pada aksi timbal balik, esok.

Vietnam menang tipis 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Panaad Park and Sports Complex, Bacolod City, Manila pada 2 Dis lepas.

Perlawanan akhir akan menggunakan format timbal balik dengan final pertama berlangsung pada 11 Disember, manakala aksi timbal balik pada 15 Disember ini.

— BERNAMA