Malaysia mara ke suku akhir Kejohanan Berpasukan Asia 2020

Malaysia mara ke suku akhir Kejohanan Berpasukan Asia 2020

Skuad lelaki negara akan bertemu Korea Selatan manakala skuad wanita akan berdepan dengan Taiwan pada saingan suku akhir Kejohanan Badminton Bepasukan Asia di Manila, esok.

Pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan hari ini, skuad lelaki muncul juara Kumpulan B selepas menewaskan India 4-1dan meraih kemenangan mudah 5-0 ke atas Kazakhstan pada aksi pembukaan semalam.

Bagaimanapun, India turut layak selaku naib juara kumpulan dan akan bertemu Thailand pada saingan suku akhir,

Pada aksi di Rizal Memorial Coliseum, pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia menyumbangkan mata pertama Malaysia apabila menundukkan B Sai Praneeth 21-18, 21-15.

Rentak cemerlang pemain berada di ranking ke-14 dunia itu diteruskan oleh beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang hanya mengambil masa 31 minit untuk mengatasi gandingan M.R. Arjun-Chirag Shetty 21-18, 21-15.

Pemain perseorangan kedua, Cheam June Wei, yang berada di kedudukan ke-72 dunia, bagaimanapun gagal menyaingi kehebatan pemain ke-15 dunia, K.Srikanth walaupun menampilkan aksi bertenaga apabila tumpas 21-14, 16-21,19-21.

Kekalahan June Wei ternyata tidak mematahkan semangat beregu lelaki kedua, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan perseorangan ketiga, Leong Jun Hao untuk mempamerkan aksi terpuji, sekali gus meraih dua lagi mata buat Malaysia.

Pasangan Ong-Teo menang ke atas Dhruv Kapila-Lakshya Sen 21-14, 21-14, manakala Jun Hao menewaskan H.S. Praannoy 21-10, 21-15.

Sementara itu, skuad wanita yang diundi dalam Kumpulan W turut mengesahkan tempat ke suku akhir walaupun tumpas 2-3 kepada Jepun, kerana hanya dua pasukan bertanding dalam kumpulan itu, selepas undian semula dilakukan pada Isnin lalu, ekoran beberapa negara menarik diri.

Dua mata Malaysia diperoleh menerusi pemain perseorangan wanita, Soniia Cheah yang terpaksa bekerja keras sebelum mengalahkan Akane Yamaguchi 21-16, 13-21, 21-18, dan S. Kisona yang menundukkan Aya Ohori 21-14, 21-13.

Beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean pula tumpas kepada pasangan Yuki Fukushima-Sayaka Hirota,11-21, 15-21 manakala Pearly Tan-M.Thinaah kalah 15-21, 21-18, 16-21 kepada Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei turut mempamerkan aksi hambar apabila terpaksa akur di tangan Sayaka Takahashi dengan keputusan 18-21, 12-21, dalam pertarungan selama 35 minit.

 

JADUAL SUKU AKHIR HARI INI

Lelaki:

Indonesia mln Filipina

Thailand mln India.

Korea Selatan mln MALAYSIA

Jepun mln Taiwan

 

Wanita:

Jepun mln Indonesia

Taiwan mln MALAYSIA

Kazakhstan mln Thailand

Singapura mln Korea Selatan

 

— BERNAMA