Malaysia Dateline

Malaysia menerajui global dalam mengukur pulangan inovasi

Malaysia merupakan salah satu daripada peneraju global dalam mengukur pulangan inovasi (ROI), menurut satu kaji selidik yang dibuat ke atas eksekutif perniagaan inovasi di 20 buah negara.

GE Global Innovation Barometer 2018 mendapati, di kalangan eksekutif perniagaan Malaysia yang mengambil bahagian dalam proses atau dasar inovasi syarikat mereka, sejumlah 69 peratus akan mengukur impak inovasi ke atas prestasi perniagaan bagi mendapatkan tambahan pelaburan serta pembiayaan. Ini mendahului purata global sebanyak 45 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif General Electric (GE) Malaysia, Datuk Mark Rozario, yang mengumumkan keputusan Malaysia dalam kaji selidik itu hari ini, berkata eksekutif perniagaan tempatan semakin memilih untuk melindungi perniagaan teras mereka, bagi memastikan perniagaan mereka terus menjana keuntungan untuk menyokong usaha-usaha penyelidikan dan inovasi.

“Ini bertambah sebanyak 14 mata peratusan kepada 78 peratus sejak 2016. Pendekatan yang lebih mampan ini jelas, diperlihatkan semasa pelancaran pasaran bagi sesebuah inovasi sekarang ini, yang mana, 64 peratus eksekutif perniagaan (berbanding hanya 53 peratus dalam 2016) memilih untuk menunggu, serta menguji sesebuah inovasi sehingga sempurna sebelum pelancaran,” katanya.

Kaji selidik yang diterbitkan dalam edisi keenam itu, dibuat ke atas 2,090 eksekutif perniagaan di 20 buah negara. Seramai 80 eksekutif perniagaan inovasi Malaysia telah diwawancara antara 12 Okt hingga 1 Dis 2017.

Rozario berkata sejak empat tahun lepas, kalangan eksekutif perniagaan semakin melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai persekitaran inovasi yang kondusif.

“Kaji selidik itu mendedahkan sebanyak 35 peratus daripada eksekutif perniagaan Malaysia juga berpendapat negara ini mempunyai persekitaran inovasi yang kondusif, ini merupakan kenaikan sebanyak 28 mata peratus sejak dari 2014.

“Secara umum, pasaran Asia telah menyaksikan peningkatan terbesar dalam cara mereka menilai persekitaran inovasi yang kondusif di negara masing-masing,” katanya.

Sementara itu, majoriti (60 peratus) eksekutif perniagaan Malaysia berpendapat dasar perlindungan akan memanfaatkan inovasi dalam negara mereka, ini sejajar dengan perspektif global mengenai dasar perlindungan (55 peratus daripada eksekutif perniagaan global mempunyai pendapat yang sama).

“Sebanyak 71 peratus berpendapat bahawa ia akan menjadikan perniagaan lebih berdaya saing (46 peratus di peringkat global), 63 peratus mengatakan ia menyediakan peluang untuk melatih dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan (38 peratus di peringkat global) dan 60 peratus mengakui bahawa ianya adalah positif bagi perdagangan domestik (41 peratus di global).

“Bagaimanapun, ia adalah satu isu yang rumit. Sejumlah 94 peratus daripada eksekutif perniagaan Malaysia berpendapat bahawa sektor swasta perlu menjadi pemacu utama dalam agenda inovasi dan bukannya, kerajaan, angka ini lebih jauh daripada purata global sebanyak 86 peratus,” katanya.

— BERNAMA